CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Segambut, Hannah Yeoh, hari ini mempersoalkan status calon dari Barisan Nasional (BN), Loga Bala, yang memungkinkan lawannya itu hilang kelayakan bertanding pada PRU14.
Pada 2016, Loga Bala yang merupakan naib presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) telah dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara untuk tiga tahun lagi, sedangkan penggal beliau akan tamat pada 15 Mei, 2019.
Yeoh, penyandang kerusi DUN Subang Jaya di Selangor berkata, Perkara 49 Perlembangan Persekutuan melarang dua keahlian di Parlimen.
“Kami mahu tahu sama ada beliau sudah meletak jawatannya sebagai senator tetapi oleh kerana tidak ada tempoh bantahan buat masa ini, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya kata mereka akan periksa dan akan buat pengumuman.
“Adalah penting bagi mereka untuk mengesahkan yang beliau benar-benar sudah meletak jawatan dan bukan lagi senator,” kata Yeoh selepas mengemukakan borang pencalonan beliau di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara.
Ketika dihubungi, Loga Bala berkata beliau telah meletak jawatan sebagai senator pada 27 April lalu dan layak untuk bertanding pada PRU14. – 28 April, 2018.
Komen