SPR tolak pencalonan 6 calon Pakatan


The Malaysian Insight

SEKURANG-KURANGNYA enam calon Pakatan Harapan (PH) tersungkur sebelum bertarung selepas pencalonan mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dibatalkan atas beberapa alasan.

Calon PKR bagi kerusi Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua gagal dalam usaha mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak PRU 2008 selepas pencalonannya dibatalkan kerana hilang kelayakan sebagai calon.

Ia berikutan hukuman denda RM2,000 yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac lepas, biarpun ada keputusan mahkamah yang memutuskan sebaliknya berhubung status kelayakan tersebut.

Tian Chua membuat laporan polis membantah keputusan pegawai pengurus pilihan raya Anwar Mohd Zain.

Sementara itu, calon Bersatu bagi kerusi DUN Bukit Pasir di Johor, Pizi Jihat hilang kelayakan kerana muflis.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada sidang medianya di Pagoh berkata sebelum ini tiada sebarang isu mengenai status kebankrapan Pizi tersebut dan pihaknya bingung dengan perkembangan terbaru hari ini yang menunjukkan calon itu muflis.

Calon Bersatu bagi kerusi DUN Penaga dalam Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang, Yaakob Osman juga berdepan nasib sama, ditolak pencalonannya kerana muflis. Yaakob juga memberi ulasan sama semakan sebelum ini termasuk semalam menunjukkan beliau bukan seorang yang bankrap.

Sementara itu, dua calon PKR bagi dua kerusi negeri di Kelantan juga ditolak pencalonannya. Calon DUN Tawang, Mohd Azihan Che Seman ditolak pencalonannya kerana alamat pada kad pengenalannya bukan di Kelantan manakala calon DUN Kuala Balah, Mohd Hafidz Rizal Amran seorang muflis.

Calon PKR bagi kerusi DUN Bukit Melawati (Kuala Selangor), Sivamalar Genapathy juga ditolak kerana beralamat di luar Selangor. PH bagaimanapun sempat menggantikan tempatnya dengan Juwairiya Zulkifli.

Barisan Nasional pula menang tanpa bertanding di DUN Rantau, Negeri Sembilan selepas calon PKR, S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak mempunyai pas SPR.

Kerusi DUN Rantau dimenangi oleh penyandangnya yang juga menteri besar kerajaan sementara Negeri Sembilan, Mohamad Hassan. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen