Reman 32 suspek kes bunuh kadet tentera laut dilanjutkan, 4 bebas


Muzliza Mustafa

POLIS hari ini memperoleh lanjutan reman lima hari terhadap 32 suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Bagaimanapun, empat pelajar Universiti Tenaga Nasional di Bangi, dibebaskan dengan ikat jamin.

Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada jam 8.30 pagi untuk mendengar permohonan reman.

Suspek yang reman berakhir hari ini, ditahan minggu lalu.

Zulfarhan didakwa diseksa hingga mati selepas dituduh mencuri sebuah komputer riba.

Peguam Sukhdave Singh Kashmir Singh yang mewakili tiga daripada suspek yang dibebaskan  hari ini berkata majistret memberikan 15 minit sesi melawat kepada ibu bapa pelajar yang ditahan.

“Mereka semua baik dan sihat,” kata Sukhdave.

Zulfarhan, pelajar tahun tiga kejuruteraan elektrik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meninggal dunia seminggu lalu apabila didakwa diseksa dengan sterika wap, penyangkut baju dan tali pinggang berhubung kecurian komputer riba.

Dia disahkan meninggal dunia pada 1 Jun di Hospital Serdang.

Keluarganya berkata Zulfarhan diambil oleh ambulans di tepi jalan dengan hanya berkain sarung di Sepang.

Susulan kematiannya, polis menahan 32 pelajar UPNM pelajar yang juga rakan sepengajian Zulfarhan di bawah penjagaan Akademi Latihan Ketenteraan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mengumumkan semua 32 yang ditahan digantung oleh universiti dan akademi sementara menunggu siasatan pembunuhan itu.

Beliau berkata, jika suspek didapati bersalah menyembunyikan kejadian itu daripada pihak atasan mereka juga akan dipecat daripada akademi itu.

Kakitangan dan pegawai yang mengetahui kejadian itu dan tidak bertindak juga akan dikenakan tindakan tegas. – 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen