Shafie dicabar keluarga sendiri dalam kempen jawatan KM Sabah


The Malaysian Insight

PRESIDEN Warisan Shafie Apdal berdepan cabaran berganda apabila terpaksa menghadapi sepupu dan bekas pengikut di dua kerusi yang ditandinginya.

Di kerusi Semporna yang disandangnya, Shafie berdepan bekas pengikut yang juga Ketua Penerangan Umno Semporna Ramlie Marhaban.

Dua lagi pencabarnya di kerusi itu ialah calon PAS, Abdul Nasir Ab Rauf dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah Asmara Asmad.

Dalam kempennya untuk menjadi ketua menteri Sabah pula, Shafie berdepan sepupunya sendiri, veteran BN Nasir Sakaran di kerusi DUN Senallang dalam pertandingan satu lawan satu.

Seorang lagi sepupu Shafie, Razak Sakaran mewakili BN bertanding menentang calon Warisan dalam pertandingan enam penjuru di DUN Bugaya.

Bapa kepada kedua-dua sepupu Shafie itu, Nasir dan Razak adalah bekas ketua menteri Sabah, Sakaran Dandai yang bertanggungjawab membawa Shafie ke arena politik sejak awal 1990-an.

Di DUN Bugaya, Razak berdepan calon Wirawati Warisan, Manis Muka Mohd Darah, calon Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Kulli Malaram, calon wakil Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Mohammad Said Tiblan, calon PAS Mahamod Sarahil dan calon Bebas, Abd Muksin Mohamad Hasan.

Seorang lagi calon daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Mohd Zakaria @ Md Jakaria Jakarullah yang turut mengemukakan pencalonan bagi kerusi ini ditolak kerana pencadangnya bukan pengundi di DUN berkenaan.

Sementara itu, orang kanan Shafie, Jaujan Sambakong yang mempertahankan kerusinya di DUN Sulabayan berdepan tiga calon lain – Harman Mohamad dari BN, Utung Tanjung dari Parti Harapan Rakyat Sabah, dan Abdul Nasir Ab Rauf dari PAS yang turut bertanding untuk kerusi parlimen Semporna.

Kesemua nama calon berkenaan hanya diumumkan oleh pegawai pengurus Semporna, Chaco Bulah selepas jam 12 tengah hari berikutan bantahan serta cuaca buruk.

Proses penamaan calon di Semporna berlangsung dengan meriah apabila lebih 3,000 penyokong Warisan berkumpul di depan pejabat Warisan Semporna sejak awal pagi sebelum berarak ke Pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Semporna.

Warisan pada 2 April lalu mengumumkan kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk PRU14 di Sabah namun meminta agar dua parti PH, Bersatu dan Amanah tidak bertanding di negeri itu. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen