Pakatan sandar manifesto, pengalaman untuk menangi Marang


The Malaysian Insight

CALON Pakatan Harapan (PH) Dr Zarawi Sulung mengharapkan pengalaman gabungan itu dan manifestonya dalam cubaan menewaskan dua gergasi politik bagi merebut kerusi Parlimen Marang.

Zarawi berkata beliau percayai manifesto PH yang menjanjikan untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan menarik pengundi yang kritikal terhadap Barisan Nasional (BN).

Malah, Zarawi, 56, berkata gabungan itu mempunyai pemimpin yang berpengalaman dalam menguruskan kerajaan persekutuan, iaitu bekas perdana menteri dan dua bekas timbalan perdana menteri, yang akan membezakan PH daripada PAS.

Pemimpin kanan PH termasuk perdana menteri keempat Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim.

PH berjanji untuk meletakkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika ia memenangi Putrajaya.

Zarawi berkata PH hanya yang paling kecil dalam pertandingan tiga penjuru di Marang, yang mempunyai lebih 91,000 pengundi pada PRU14. Pada PRU lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menang dengan majoriti 5,124 undi.

Tetapi itu pada 2013 di mana PAS masih sebahagian daripada gabungan besar pembangkang yang terdiri daripada PKR dan DAP. PAS kini bersendirian, sementara PKR dan DAP adalah sebahagian daripada PH.

“Hanya antara 10% hingga 20% pengundi Marang adalah ahli PAS atau BN. Selebihnya, antara 70% hingga 80% kita boleh dapat,” kata Zarawi ketika ditemui selepas mengisi borang pencalonannya.

“Kami percaya kami mempunyai cadangan dasar yang lebih baik berbanding BN dan kepimpinan lebih baik daripada PAS.”

Zarawi berkata beliau akan membawa isu kekurangan pembangunan di Marang, peluang pekerjaan dan perniagaan di kawasan itu ke Parlimen, jika dipilih.

“Ekonomi rakyat sangat terjejas akibat kenaikan inflasi berpunca daripada GST,” kata ahli perniagaan itu yang juga bertanding di kerusi DUN Rhu Redang. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen