Ezam sokong Azmin, mahu jatuhkan Najib


The Malaysian Insight

BEKAS Ketua Pemuda PKR Mohd Ezam Mohd Nor kini menyatakan sokongannya terhadap Mohamed Azmin Ali dan mahu membantunya mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa. 

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai rancangan menyertai semula parti itu tetapi ingin menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Najib Razak. 

“Saya tiada rencana kembali ke parti. Sebagai rakyat Selangor saya menyokong menteri besar yang berpotensi tinggi, sebab itu saya di sini.

“Ini adalah untuk kebaikan negeri ini, Azmin sudah lakukan perkara yang baik sejak 3, 4 tahun dahulu,” katanya yang mengiringi Azmin sebelum itu di luar pusat penamaan calon di Dewan SMK Sungai Pusu hari ini.

Mengenai kehadiran Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan, Ezam berkata meskipun bekas perdana menteri bukan pilihan terbaik tetapi kehadiran beliau perlu untuk menjatuhkan pentadbiran Najib Razak. 

“Dalam dunia selalu memang kita hadapi masalah, dan pilihan. Dalam kes Dr Mahathir, kita harus buat pilihan antara beliau atau Najib.

“Najib membahayakan negara pada masa ini, bukannya Dr Mahathir yang paling sesuai tapi najib lagi bahaya. Kita tidak ada pilihan.

“Saya bersama-sama dengan kelompok yang ingin menjatuhkan Najib. Saya rasa masih belum terlambat bagi saya untuk pertahankan menteri besar yang menunjukkan prestasi baik,” katanya. 

Bekas senator BN itu bermula dengan Umno namun menyertai PKR ketika era reformasi pada 1998. 

Namun, beliau kemudiannya bertindak keluar dari PKR pada 2007 dan menyertai Umno semula pada 28 Mei 2008.

Pada 2 Oktober 2016, beliau mengumumkan keluar dari Umno setelah gagal melaksanakan transformasi dalam kerajaan. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen