Menang di Pelangai bukti kerajaan perpaduan diterima baik, kata Wan Rosdy


Wan Rosdy berkata kemenangan BN di Pelangai juga menunjukkan pengundi di kawasan tersebut menolak naratif kempen PN yang berkisar kepada fitnah serta sentimen 3R. – Gambar Facebook, 7 Oktober, 2023.

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai membuktikan pengundi menerima baik gabungan kerajaan perpaduan.

Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata rakyat dan pengundi mungkin terkeliru dengan kerjasama gabungan politik itu dengan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat awal penubuhan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun sudah mula melihat keberkesanan kerjasama itu.

“Dalam jangka panjang, saya sentiasa yakin pengundi akan lihat fakta dan politik khidmat yang kita tawarkan, apa yang kita boleh berikan kepada mereka dan mereka kini menikmati sentuhan itu, sebab itu hari ini mereka pilih BN lagi untuk terus bawa pembangunan kepada mereka.

“Penerimaan ini juga dapat dilihat dengan jelas terutama di dua PDM (Pusat Daerah Mengundi) PRK Pelangai yang terdiri daripada majoriti bukan Melayu tetapi mereka beri undi kepada BN, itu juga boleh dikatakan golongan ini menerima baik kerjasama BN-PH dalam kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita di Bentong, malam ini.

PRK Pelangai menyaksikan calon BN Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi selepas  memperoleh 7,324 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi.

Menteri Besar Pahang itu berkata kemenangan BN di Pelangai juga menunjukkan pengundi di kawasan tersebut menolak naratif kempen PN yang berkisar kepada fitnah serta sentimen 3R (agama, kaum dan institusi diraja) sekali gus tidak berlaku ‘gelombang hijau’ di negeri tersebut.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO, berkata momentum kemenangan di Pelangai akan dipertingkat sebagai persediaan menghadapi PRK Parlimen Kemaman selepas PAS tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan calonnya Che Alias Hamid pada PRU15.

“Kita akan tingkatkan momentum, kita sudah berusaha sehabis baik di Pelangai ini (biarpun) ada penurunan sedikit (majoriti), ini PRK, biasalah namun kita tetap akan lihat mengapa terjadi begitu dan akan baiki,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin tertinggi dan seluruh jentera parti atas sokongan serta kerja keras dalam memenangkan gabungan politik itu di Pelangai. – Bernama, 7 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen