CALON Bersatu bagi kerusi DUN Penaga di Kepala Batas mendapati dirinya muflis dan tidak layak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14.
Yaakob Osman berkata, kali terakhir beliau membuat semakan status kewangannya semalam mendapati dirinya “bebas dan bersih” daripada muflis.
“Sudah menjadi amalan dalam Bersatu untuk calonnya menyemak status mereka. Tetapi hari ini, saya diisytiharkan muflis. Bagaimana ia berlaku? Saya tidak pernah muflis sebelum ini.
“Sekiranya saya memiliki rekod muflis, saya tidak akan membuang masa. Jika masalah ini dikesan dari awal, Pakatan Harapan boleh memilih calon lain.
“Sayang sekali. Penaga merupakan kerusi yang berpotensi. Sekarang sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Penamaan calon sudah tutup,” katanya.
Yaakob yang merupakan adik kepada ketua Umno Pulau Pinang Zainal Abidin Osman berkata, beliau akan memfokuskan kepada membantu calon partinya di kerusi yang mereka tandingi.
Di Johor, calon Bersatu bagi kerusi Bukit Pasir Pizi Jihat turut hilang kelayakan untuk bertanding kerana muflis yang mana menurut presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, ia merupakan kecacatan kerana semakan mendapati Pizi tidak muflis.
Penaga merupakan kerusi yang disandang oleh Mohd Zain Ahma dari Barisan Nasional, yang memenangi kerusi itu dengan 1,231 undi pada 2013.
Malah, dengan Yaakob yang tidak layak bertanding, kerusi Penaga akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Zain dari BN dan Yusni Mat Piah dari PAS. – 28 April, 2018.
Komen