AMANAH mempertaruhkan tiga orang anak kepada bekas pemimpin kanan PAS sebagai calonnya untuk kem Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Salah seorang daripada calon itu adalah Nik Mohamad Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Mohamad Omar memberi kejutan hari ini apabila tampil sebagai calon di DUN Chempaka, yang diwakili oleh arwah ayahnya itu sebelum ini.
Turut mencuri tumpuan adalah Faiz Fadzil, anak kepada bekas presiden PAS, Allahyarham Fadzil Noor. Faiz menjadi calon PH di DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang yang sebelum ini dimenangi oleh calon PAS untuk beberapa penggal.
Seorang lagi yang turut meraih perhatian adalah naib presiden Amanah, Dr Mujahid Yusuf Rawa, anak kepada bekas presiden PAS, Allahyarham Yusuf Rawa.
Mujahid bertanding untuk mempertahankan kerusi Parit Buntar, Perak buat kali ketiga selepas memenanginya pada PRU12 dan PRU13.
Mengulas perkara itu presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, perkembangan ini amat memberangsangkan untuk Amanah dan PH.
“Tiga anak tiga pemimpin besar PAS sebelum ini menjadi calon Amanah dalam pilihan raya kali ini.
“Oleh itu, tidak ada sebab untuk orang Melayu takut untuk memberikan kepercayaan kepada PH dalam pilihan raya ini kerana anak ulama besar PAS kini bersama Amanah,” kata Mohamad.
Terdahulu, Mohamad disahkan sebagai calon selepas menyerahkan borang penamaannya untuk kerusi Parlimen Kota Raja.
Mohamad berdepan calon PAS, Mohamad Diah Baharun dan juga V Gunalan dari BN. – 28 April, 2018.
Komen