Peratusan pengundi muda PRK Pelangai memberangsangkan, kata SPR


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh yakin peratusan keluar mengundi akan mencapai sasaran 70%s apabila proses mengundi tamat pada 6 petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2023.

PERATUSAN keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai amat memberangsangkan setakat 11 pagi tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata ia adalah satu perkembangan yang baik jika dibandingkan dengan beberapa PRK sebelum ini.

“Kita dapat lihat para pengundi datang awal dan berbaris panjang. Yang sudah-sudah, pengundi muda selalunya (datang) lambat sedikit… ini menunjukkan perubahan dalam semangat anak-anak muda untuk mengundi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi di Bentong hari ini.

Abdul Ghani berkata pihaknya yakin peratusan keluar mengundi akan mencapai sasaran 70 peratus apabila proses mengundi tamat pada 6 petang ini.

“Insya-Allah, cuaca pun nampak tidak begitu panas, saya menyeru semua pengundi untuk keluar mengundi pada masa yang kami galakkan,” katanya.

PRK Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Calon Barisan Nasional (BN) Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK Pelangai merupakan PRK keempat diadakan selepas PRU15 pada 19 November lepas, selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu serta PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan serentak pada 9 September. – Bernama, 7 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen