Perlawanan 5 penjuru di Bagan


The Malaysian Insight

KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berdepan pengkritik projek terowong dasar lautnya daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua Pemuda MCA negeri Lee Beng Seng dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan di kerusi Parlimen Bagan.

Dalam mempertahankan kerusi itu, Lim juga akan bertanding melawan Tan Lay Hock daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Koay Xing Boon daripada Malaysia United Party (MUP).

Ini menjadikan penyandang kerusi Bagan itu berdepan saingan lima penjuru.

DAP memegang Bagan sepanjang tujuh penggal lalu sejak 1986. Lim mewakili parti itu untuk dua penggal.

Pegawai pengurus Rozali Mohamud mengumumkan senarai calon di pusat penamaan calon di SJK (C) Kwang Hwa di Jalan Raja Uda kira-kira jam 1 petang tadi.

Lim yang juga setiausaha agung DAP, memenangi Bagan dengan majoriti 34,159 undi pada 2013 menewaskan BN dan PCM. Pada 2008, ketika kali pertama bertanding di situ, beliau menang majoriti 22,070 undi melawan BN.

Terdapat 71,583 pengundi berdaftar di Bagan, terdiri daripada 71.27% Cina, 14.94% India dan 13.44% Melayu.

Ia meliputi Bagan Dalam, Bagan Jermal dan Sungai Puyu. Ia dilihat sebagai bandar lama Butterworth dan dikenali sebagai “Bei Hai” (laut utara) dalam kalangan masyarakat Cina.

Sebagai hab pengangkutan, ia menempatkan feri Pulau Pinang, pelabuhan dan Penang Sentral, yang akan menjadi terminal integrasi utara untuk bas, perkhidmatan kereta api dan pengangkutan laut; selain kawasan perindustrian Mak Mandin.

Sementara itu, tiga kerusi DUN di bawah Bagan juga menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Sungai Puyu, Bagan Jergal dan Bagan Dalam akan ditandingi calon daripada PH, BN, PRM, MUP dan Penang Front Party (PFP). – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen