Pencalonan PCM tertangguh kerana masalah simbol 


The Malaysian Insight

PENCABAR Lim Guan Eng di Bagan, Huan Cheng Guan daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) hampir tidak layak sebagai calon hari ini berikutan masalah simbol parti berkenaan. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata simbol PCM tiada dalam rekodnya, menyebabkan pengumuman rasmi calon tertangguh selama kira-kira satu jam. 

Huan yang juga naib presiden PCM berkata, parti itu mengemaskini simbolnya beberapa bulan lalu dan simbol baru telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS). 

“Tetapi kini SPR memaklumkan saya tidak boleh menggunakan simbol yang sudah dikemaskini. Mereka cadangkan saya guna simbol lama.

“Tetapi saya sudah mencetak simbol baharu untuk berkempen,” katanya kepada pemberita.

Huan turut mempersoalkan SPR yang “tidur” kerana gagal mengemaskini simbol PCM dalam rekodnya. 

Bagaimanapun isu berkenaan diselesaikan sebelum jam 1 petang dan Huan diumumkan sebagai calon di Bagan. 

Pegawai pengurus pilihan raya Rozali Mahmud berkata, SPR menerima pencalonan Huan dan membenarkan beliau menggunakan simbol parti lama dalam rekos suruhanjaya itu. 

Bagan merupakan kubu kuat DAP bagi tujuh penggal. Ia memiliki tiga kerusi negeri. 

Kerusi Parlimen menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Huan dan lima lagi calon dari Barisan Nasional, Malaysian United Party dan Parti Rakyat Malaysia. 

DAP, sebagaimana parti lain dalam Pakatan Harapan menggunakan logo PKR pada pilihan raya kali ini. 

Keputusan SPR turut menyebabkan pengumuman calon bagi kerusi Bukit Bendera tertangguh, yang mana seorang lagi calon PCM turut bertanding di kerusi DUN Air Putih, yang turut disandang oleh Lim. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen