PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang untuk bertanding.
“Semuanya okay kecuali saya dengar Tian Chua hilang kelayakan walaupun tiada sebab mengapa beliau tidak layak,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di Langkawi ketika ditanya tentang Chua yang dikenali sebagai Tian Chua tidak layak untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu.
Dr Mahathir turut kesal dengan kesilapan calon PKR Dr Streram Sinnasamy yang gagal mempamerkan pas calon dikeluarkan SPR menyebabkan beliau tidak boleh memasuki pusat penamaan dan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
“Saya kesal Mat Hasan menang tanpa bertanding sebab kesilapan dilakukan calon kami.
“Selain itu semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Ketika ditanya tentang keseluruhan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bekas perdana menteri itu berkata: “Kita tidak tahu, dengan Datuk Seri Najib (Razak) kita tidak tahu.
“Saya rasa sokongan baik,” katanya.
Katanya beliau tidak tahu apakah lagi helah yang akan digunakan Najib selepas pesawatnya cuba disabotaj semalam.
“Kita tidak tahu apa lagi helah dia ada dalam fikirannya, tetapi dia memang macam tu.
“Cuba menghalang saya untuk datang sini. Dan dalam proses itu, saya mungkin berdepan dengan kemalangan yang serius,” katanya.
Dr Mahathir berkata, beliau akan tetap berkempen di seluruh negara walaupun SPR menghalang calon luar untuk berkempen di kerusi DUN yang tidak ditandinginya.
“Saya tidak tahu arahan itu sah atau tidak.
“Kerana saya pemimpin parti, saya boleh pergi ke mana sahaja parti bertanding,” katanya. – 28 April, 2018.
Komen