CALON untuk kerusi Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau yakin pengundi hanya akan mengambil kira Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) walau berlaku pertembungan tiga penjuru di kerusi tersebut.
Beliau berpandangan demikian kerana satu lagi PAS yang turut bertanding di situ hanya berhasrat untuk menjadi penentu kemenangan pilihan raya.
“Saya rasa fokus rakyat masih kepada dua parti ini kerana mereka mahukan parti yang boleh (berhasrat) untuk bentuk kerajaan. Jadi secara logiknya, ia di antara BN dan PH.
“Tapi ini demokrasi terbuka kepada sesiapa untuk bertanding,” katanya kepada pemberita selepas disahkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini turut mengesahkan pencalonan calon BN, Zulhasnan Rafique dan juga calon PAS, Ubaid Abd Akla.
Nik Nazmi berkata, walaupun Setiawangsa merupakan kubu BN tetapi PH tetap melihat peluang di situ kerana undi yang diperolehi parti kerajaan tersebut semakin merosot kepada hanya 1,390 undi dalam PRU13.
Dalam pilihan raya itu, penyandangnya Ahmad Fauzi Zahari daripada BN meraih 26,890 undi, manakala PKR yang diwakili Ibrahim Yaacob meraih 25,419 undi.
Calon PAS, Ubaid berkata jumlah undi yang diraih oleh PKR itu adalah hasil bantuan daripada parti Islam tersebut ketika mereka masih berada di dalam Pakatan Rakyat.
“Kami ini ‘underdog’ dan kami lebih suka dalam keadaan itu supaya tidak di dalam zon selesa,” katanya apabila diminta mengulas mengenai dua calon lawan yang lebih menyerlah darinya.
Tambahnya, beliau yakin akan mendapat sokongan daripada penyokong tegar PAS dan kini memandangkan parti Islam itu pernah bertanding di kerusi tersebut pada 2004. – 28 April, 2018.
Komen