Dakwaan pesawat bawa Dr Mahathir disabotaj akan disiasat


The Malaysian Insight

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menyisat dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa pesawat yang dijadual menerbangkannya ke Langkawi telah disabotaj, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata polis akan mengambil alih kes ini sekiranya perbuatan jenayah didapati berlaku.

“Kami telah kumpulkan maklumat, dan dari situ, kami dapati satu tayar telah pecah.

“Jadi, siasatan seperti yang diarahkan oleh menteri pengangkutan sedang dijalankan oleh CAAM.

“Jika terdapat sebarang perbuatan jenayah, kami akan mengambil alih siasatan. Itu saja yang saya boleh katakan,” beliau memberitahu wartawan pada sidang akhbar khas di Bukit Aman hari ini.

Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai dilaporkan berkata CAAM telah diarahkan supaya menyiasat dakwaan pengerusi Pakata Harapan itu.

Di Langkawi hari ini, Dr Mahathir berkata beberapa rakan beliau yang pernah meminjamkan pesawat peribadi kepada beliau sebelum ini secara tiba-tiba enggan berbuat demikian. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen