BERSATU kebingungan mengapa calonnya bagi Bukit Pasir, Pizi Jihat, hilang kelayakan disebabkan muflis sedangkan dokumen yang ada menunjukkan sebaliknya, kata presiden parti Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang dinamakan sebagai calon untuk kerusi Parlimen Pagoh hari ini, berkata Pizi sudah menyelesaikan isu muflisnya dan menyerahkan dokumen untuk membuktikan perkara itu kepada parti.
“Sebelum beliau dipilih, kami menyaring latar belakangnya dan ada kes muflis. Tetapi sebelum dipilih sebagai calon, beliau sudah menyelesaikan masalah itu.”
Carian di laman sesawang Jabatan Insolvensi, membersihkan Pizi, turut dimasukkan ke dalam fail penamaan pencalonan kepada pegawai pengurus pilihan raya di Pagoh, kata Muhyiddin.
“Tetapi apabila pegawai pengurus pilihan raya melihatnya, beliau berkata pemeriksaannya menunjukkan Pizi masih berstatus muflis. Kami hairan mana yang benar dan meminta pegawai berkenaan memeriksanya sekali lagi.
“Tetapi beliau tetap memutuskan untuk menolak pencalonan itu.
“Saya kecewa dengan apa yang berlaku dan kami akan menyemak sebab-sebab ini sekali lagi. Tetapi daripada rekod yang diberikan kepada kami, tiada sebab pencalonan beliau patut dibatalkan,” kata Muhyiddin, yang akan bertanding di Pagoh untuk kali kelapan dalam PRU14.
Pencalonan Pizi untuk Bukit Pasir dibatalkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, Zainor Adani menyebabkan kerusi itu akan ditandingi oleh Barisan Nasional dan PAS.
Namun, Zainor enggan bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan senarai calon apabila ditanya mengapa Pizi dibatalkan. – 28 April, 2018.
Komen