PENGUNDI muda fasih Internet di bawah 40 tahun yang membentuk 42% pengundi Penampang akan jadi penentu kerusi Parlimen di Sabah itu, kata penyokong Barisan Nasional (BN).
Sharez Shaun, yang mengiringi calon BN pada penamaan calon hari ini, yakin kedudukan pengundi muda itu adalah antara sebab BN meletakkan Caesar Mandela Malakun sebagai calon di kawasan kubu kuat Kadazan itu.
“Beliau muda. Umurnya baru 28 tahun dan ada cita rasa dan gaya hidup yang sama dengan pengundi di Penampang yang juga muda dan fasih Internet,” katanya.
Menurut data SPR, Penampang juga mempunyai 52% pengundi berumur di bawah 50 tahun.
Malakun mencabar penyandang Darell Leiking, 48, dari Parti Warisan Sabah,\ yang juga menepati majoriti profil pengundi di kawasan itu.
Kedua-dua calon mempunyai latar pendidikan undang-undang dan anak kepada pemimpin kanan politik Sabah.
Kerusi Parlimen Penampang ditandingi empat calon termasuk Cleftus Stephen Spine (Star Sabah), yang juga sepupu kepada Malukun dan Darell, dan Dr Edwin Bosi dari Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri).
Sementara itu, kerusi negeri Moyog juga akan ditandingi empat calon iaitu penyandang Donald Peter Mojuntin (Upko), Jenifer Lasimbang (PKR), Denis J Tunding (Parti Cinta Sabah) dan Danim @ Aloysius Siap dari Star Sabah.
Bagi kerusi Kapayan, BN meletakkan timbalan ketua MCA negeri, Francis Goh yang akan menentang Jannie Lasimbang (DAP) dan Chong Pit Fah (Star Sabah). – 28 April, 2018.
Komen