PENYANDANG DUN Hulu Kelang Saari Sungip tidak memakai baju sedondon dengan calon-calon PKR yang lain kerana beliau berkata sudah puas berbaju biru.
Ketika di dewan penamaan calon di SMK Sungai Pusu pagi tadi, beliau berbaju Melayu putih dan bersamping jingga, berbeza dengan Azmin Ali, Hilman Idham dan Amirudin Saari yang berbaju Melayu warna biru muda.
“Saya pakai baju Melayu putih, samping oren. (Warna) Biru saya sudah puas,” katanya ketika ditanya kenapa tidak memakai sedondon dengan yang lain.
Sementara itu, Saari yakin akan mengekalkan DUN Hulu Kelang meskipun mengakui pengundinya sedikit terjejas selepas persempadanan semula.
“Terjejas tetapi kita terus buat kerja yang baru. Kita buat kerja lagi untuk 11 hari ini (kempen). Kita yakin beralih pengundi Melayu tetapi India dan Cina bertambah.
“Saya masih letak kedudukan saya kekurangan 200 ke 300 undi yang terjejas,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi penamaan calon.
Calon BN Hulu Kelang, Ismail Ahmad pula berkata beliau yakin dapat merampas DUN tersebut kerana perpecahan pembangkang.
“Saari juga keluar PAS, maka sokongan dari pengundinya tiada. Pengundinya sudah terpecah dua. Kita yakin boleh rampas.
“Saya juga berterima kasih kepada penyokong setia yang berkumpul sejak pagi saya melihat ada satu kebangkitan bahawa mereka betul-betul semangat,” katanya.
Saari selama dua penggal bertanding atas tiket PAS pada 2008 dan 2013 bertindak keluar parti selepas Pakatan Rakyat berpecah.
Pada PRU14, Saari yang kini timbalan pengerusi Amanah Selangor bertanding atas tiket PKR. – 28 April, 2018.
Komen