PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, Ahmad Bashah Md Hanifah yakin dapat mempertahankan kerusinya untuk kali keenam walau berdepan cabaran calon PKR dan PAS.
Suka Menanti sebelum ini dikenali dengan nama Bakar Bata dan ditukar namanya selaras dengan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Awal dulu (namanya) Alor Merah, lepas itu Bakar Bata dan kali ini Suka Menanti tapi pengundi sama dan tempat yang sama.
“Saya yakin mereka tahu untuk membuat pilihan terbaik,” katanya selepas pengumumam penamaan calon di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar, Kedah.
Ahmad Bashah akan berdepan Naib Pengerusi PKR Kedah, Zamri Yusof dan Bendahari PAS Kawasan Alor Setar, Mohd Sabri Omar.
Ahmad Bashah adalah wakil rakyat di kawasan itu sejak 1999.
Pada PRU13, Ahmad Bashah mengalahkan calon PKR Mohd Eekmal Ahmad dengan 895 undi.
Sementara itu, Parlimen Alor Setar ditandingi oleh Yoo Wei How (BN), Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh (PAS) dan Chan Min Kai (PKR).
Kerusi DUN Alor Mengkudu pula ditandingi oleh Abdul Malik Saad (BN), Ahmad Yahaya (PAS) dan Phahrolrazi Mohd Zawawi (PKR) manakala DUN Kota Darul Aman menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Tan Eng Hwa (BN), Zulkifle Che Haron (PAS), Teh Swee Leong (PKR) dan Tan Kap Yang (Parti Rakyat Malaysia). – 28 April, 2018.
Komen