BARISAN Nasional (BN) di Setiawangsa masih memerlukan khidmat dan pengalaman Ahmad Fauzi Zahari yang menyandang kerusi tersebut, kata calon veterannya Zulhasnan Rafique.
Zulhasnan yang bertanding semula di kerusi itu kini menghadapi tugas berat untuk mengekalkan sokongan pengundi kepada BN memandangkan jumlah majoriti undi yang diperoleh merosot teruk sejak 2008.
Bekas duta itu berharap, Fauzi akan turut memainkan peranan dalam kempen untuk meningkatkan prestasi BN.
“Beliau (Fauzi) masih di dalam jentera pilihan raya sebagai naib ketua Bahagian Umno Setiawangsa untuk main peranan (bagi PRU14) dan namanya tercatat dalam BN Setiawangsa.
“Kami masih perlukan pengalamannya sepanjang lima tahun ini dan pengetahuannya serta strategi beliau untuk menambahbaikkan prestasi kami,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pencalonan ketiga-tiga calon untuk kerusi tersebut hari ini.
Selain beliau, dua lagi calon untuk kerusi parlimen Setiawangsa ialah penyandang kerusi DUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR dan Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Ubaid Abd Akla.
Mengulas pertembungan tiga penjuru kali ini berbanding dua penjuru pada PRU13, Zulhasnan, 63, berkata tumpuan kempennya kali ini lebih menjurus kepada isu infrastruktur, keselamatan, kesihatan dan sosial penduduk di kawasan berkenaan.
Zulhasnan pada 2004 menang selesa dengan 19,669 undi majoriti mengalahkan Abdul Rashid Hassan Basri dari PAS.
Bagaimanapun, jumlah undi majoriti BN itu berkurangan lebih separuh dalam PRU12 pada 2008 kepada 8,134 undi majoriti, dan terus merosot dengan 1,390 undi pada PRU13. – 28 April, 2018.
Komen