PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad yakin akan merampas kerusi Parlimen Langkawi daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei akan datang.
Bekas perdana menteri itu juga berkata beliau merasa “baik” selepas selesai proses penamaan calon.
“Ya,” kata Dr Mahathir kepada pemberita apabila ditanya apakah beliau yakin menang di Langkawi.
Dr Mahathir akan berdepan dengan pertembungan tiga penjuru melawan calon BN, Nawawi Ahmad dan calon PAS, Zubir Ahmad.
Pada PRU13, Nawawi, menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi.
Selepas 15 tahun bersara daripada politik sejak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, Dr Mahathir kembali menyertai pilihan raya, melawan BN yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.
Ironinya, Dr Mahathir akan bertanding menggunakan logo parti PKR yang dipimpin bekas musuh ketatnya, Anwar Ibrahim. – 28 April, 2018.
Komen