PAS Kelantan tak terancam dengan pencalonan Nik Omar


The Malaysian Insight

PAS tidak bimbang dengan hakikat bahawa anak kedua bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat akan bertanding dengan mewakili seteru politiknya, Pakatan Harapan (PH).

Presiden Abdul Hadi Awang menganggap pencalonan Nik Omar sebagai undi protes kecil yang tidak akan memberi ancaman kepada PAS di Kelantan, yang menurut penganalisis politik menjadi lemah selepas parti Islam itu memutuskan hubungan dengan bekas sekutunya, PKR dan DAP.

Nik Omar diletakkan sebagai calon PH bagi kerusi DUN Chempaka di Kelantan pagi tadi. Keputusan ini selepas beliau berkata tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Saya tidak dimaklumkan (perkembangan terkini). Maklumat awal kami bukan begitu. Kami akan tunggu maklumat lebih tepat,” Hadi memberitahu wartawan selepas menyerahkan borang pencalonan beliau di Marang, Terengganu pagi tadi.

“(Kalau betul Nik Omar) bertanding, ia tidak akan mengancam sokongan PAS di Kelantan. Ia lebih kepada sokongan undi protes kecil yang tidak akan jejaskan PAS.”

PAS yang telah memerintah Kelantan selama hampir tiga dekad, berdepan kempen agresif dari Barisan Nasional (BN) dan PH yang terdiri dari PKR, Bersatu, DAP dan Amanah. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen