Zahid Mat Arip dakwa diugut tarik diri tanding Pekan


The Malaysian Insight

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pekan, Zahid Mat Arip mendakwa beliau diberi amaran supaya menarik diri daripada bertanding semalam, sehari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, beliau mendapat panggilan telefon daripada seorang “Datuk dari Kuala Lumpur” yang memberi amaran akan mengirimkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepadanya kalau beliau bertegas mahu menentang penyandang Pekan, Najib Razak.

“Beliau minta saya tarik diri daripada bertanding. Beliau kata SPRM akan tangkap saya,” kata Zahid kepada wartawan selepas pencalonan ditutup awal pagi tadi.

Zahid direman oleh SPRM pada Ogos tahun lalu bagi membantu siasatan terhadap pembelian hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Tiada sebarang pendakwaan dikenakan terhadap Zahid, yang juga bekas pembantu kepada pengerusi Felda dan FIC, Isa Samad yang dikaitkan dengan kontroversi dan dakwaan skandal agensi pembangunan tanah itu.

Zahid bagaimanapun berkata beliau tidak fikir Najib dalang ancaman yang dilemparkan ke atasnya semalam.

“Walaupun Najib tidak suka saya, beliau seorang gentleman,” kata cucu bekas timbalan perdana menteri Ghafar Baba.

Pertandingan di Pekan, kerusi yang disandang oleh Najib sejak 1976, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Barisan Nasional, PH, PAS dan seorang calon Bebas. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen