Selangor setuju nyah rahsia laporan insiden tanah runtuh Batang Kali 


31 terkorban dalam tragedi tanah runtuh di kawasan perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali 16 Disember 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2023.

KERAJAAN Selangor bersetuju untuk nyah rahsia laporan penuh kejadian insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, yang berlaku pada Disember tahun lalu.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata persetujuan tersebut, merupakan hasil daripada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dan dokumen tersebut akan diserahkan semula kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan kembalikan laporan itu kepada Nadma untuk mereka memaparkan di laman web atau diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Shah Alam hari ini.

“(Berhubung saranan atau tindakan lanjut) itu akan dibuat pihak berkuasa, sebab laporan itu sangat teknikal dan itu dipaparkan di laman web Nadma untuk perhatian semua pihak, dan mereka boleh mengambil tindakan selanjutnya.

“Namun, yang jelas ialah ia merupakan laporan teknikal menjelaskan bagaimana berlakunya peristiwa itu,” katanya. 

Amirudin berkata nama pemilik tapak perkemahan juga terdapat pada laporan tersebut, dengan beberapa kawasan terjejas ialah milik perhutanan dan rizab jalan.

Tragedi 16 Disember 2022, pada kira-kira 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali. – Bernama, 5 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen