PENYANDANG kerusi Parlimen Langkawi, Nawawi Ahmad berkata penyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad lebih ramai berbanding Barisan Nasional (BN) hari ini kerana “diimport dari luar”.
Calon BN itu berkata, kehadiran ramai penyokong Dr Mahathir dari luar pulau itu menyebabkan kesukaran kepadanya untuk membuat tempahan hotel.
“Penyokong ramai ini dari luar, saya nak book Hotel Eagle Bay pun dah habis.
“Penyokong import ini biasa, mereka bukan boleh mengundi tapi datang untuk support saja.
“Sedangkan kami kenal makcik, pakcik dalam kampung. Kita bergelumang dengan mereka dalam kampung, kita tahu taraf sokongan mereka di mana,” kata Nawawi kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Langkawi hari ini.
Nawawi akan dicabar Dr Mahathir yang mewakili PKR dan calon PAS, Zubir Ahmad.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Nawawi, menewaskan calon PKR Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi.
Nawawi berkata, Dr Mahathir bukanlah wakil rakyat terbaik untuk Langkawi kerana tidak menetap di kawasan Parlimen itu.
“Rumah dia pun tak ada di sini, dia tak undi di sini. Undi dia untuk tempat lain.
“Saya dan kawan-kawan undi Langkawi. Jadi, peluang untuk kita menang terletak pada rakyat,” katanya. – 28 April, 2018.
Komen