Pesanan kepada rakyat Malaysia, lakukan sesuatu yang wajar


The Malaysian Insight

MASA untuk berkecuali sudah tidak ada lagi.

Masa untuk tidak mengendahkan pelbagai muslihat yang mencabul kedaulatan undang-undang, menghalang keadilan dan mengabaikan konsep saksama menjelang PRU14 sudah berakhir.

Sekarang ini, rakyat Malaysia tentunya maklum bahawa seruan untuk mengundi dan menyelamatkan negara bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ini bukannya satu permintaan untuk kita jadi berani membabi buta.

Apa yang perlu kita lakukan ialah merenung ke dalam diri bertanya pada hati nurani dan melakukan sesuatu yang wajar.

Wajar? Ya, sesuatu yang wajar.

Bangkit menuntut yang hak adalah sesuatu yang lumrah bagi kebanyakan orang.

Jawablah soalan-soalan ini sebagai panduan untuk membuat pilihan:

1. Adakah anda gembira dengan hala tuju Malaysia tercinta ini sejak beberapa tahun lalu?

2. Apakah kita mahu seorang pemimpin yang jujur atau tidak kisah kalau sekiranya beliau terpalit dengan skandal asalkan negara ini politiknya stabil?

3. Negara bagaimanakah pilihan anda, yang rakyatnya lebih bersatu dan menerima antara satu sama lain atau yang rakyatnya berkelompok dan buat hal sendiri mengikut kaum?

4. Adakah anda berpuas hati dengan pencapaian ekonomi atau adakah anda percaya kekayaan Malaysia boleh diagihkan dengan lebih saksama?

5. Apakah anda ada keyakinan pada polis, kehakiman, badan pencegah rasuah dan institusi-institusi lain?

Ini antara soalan asas yang perlu kita jawab.

Tarikh 9 Mei nanti ialah untuk rakyat Malaysia menentukan hala tuju kita sendiri. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen