Lawan adik sendiri, Azmin tidak mahu mengaku kalah


The Malaysian Insight

MOHAMED Azmin Ali tidak patah semangat berdepan dengan adiknya sendirinya, personaliti televisyen terkenal, Azwan Ali di kerusi DUN Bukit Antarabangsa kerana katanya dalam sistem demokrasi sesiapa sahaja bebas untuk bertanding pada pilihan raya umum.

“Kita sebuah negara demokrasi. Kalau saudara mahu bertanding pun saya tidak mahu mengaku kalah.

“Saya telah tegaskan ini adalah proses demokrasi, sesiapa boleh menawarkan diri untuk bertanding. Kita harus akur dengan keputusan rakyat. Kuasa di tangan mereka. Jangan remehkan pendirian rakyat. Rakyat tolak politik maki hamun,” katanya kepada media selepas penamaan calon bagi kerusi Parlimen Gombak di SMK Sungai Pusu.

Menteri besar Selangor itu bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada PRU13 dengan masing-masing 4,734 undi dan 4,044 undi.

Azmin sebelum ini optimis untuk kekal menang dan akan mendapat sokongan rakyat yang bijak menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir selama dua penggal sejak PRU 2008.

Azwan menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa sebagai calon bebas menggunakan logo gajah.

Selain adiknya, Azmin ditentang tiga lagi pencabar iaitu calon Barisan Nasional (BN) Salwa Yunus, calon PAS Syarifah Hazlizah Syed Ariffin dan Ahmad Kamaruddin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita PKR, berdepan saingan Leong Kim Soon (BN), Nurul Islam Mohamed Yusoff (PAS) dan Tan Hua Meng (PRM). – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen