PROSES penamaan calon berjalan lancar bagi bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah di Petaling Jaya, pagi ini.
Bertanding atas tiket PKR, aktivis hak wanita yang terkemuka itu akan bertanding melawan calon daripada PAS dan MCA pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Penyokong daripada ketiga-tiga parti bersorak penuh semangat dalam keadaan aman dan terkawal sepanjang proses penamaan calon.
Petaling Jaya yang sebelum ini dikenali sebagai Petaling Jaya Selatan dianggap kerusi selamat bagi pembangkang.
Pada PRU13 ketika 2013, Hee Loy Sian daripada PKR menewaskan calon MCA, Sheah Kok Fah dengan undi majoriti 19,216.
Pada 2008, Hee menewaskan Donald Lim daripada MCA dengan 5,706 undi majoriti dalam pertandingan satu lawan satu.
Pembantu peribadi Lim, Chew Hian Tat, 44, akan melawan Maria kali ini.
Chew juga setiausaha organisasi MCA Petaling Jaya.
Chew dan Ketua Kebajikan Masyarakat dan Wanita PAS, Noraini Hussin berdepan pertandingan sengit untuk merapatkan jurang hampir 20,000 undi untuk mengalahkan Maria.
Noraini, ahli majlis di Shah Alam sejam 2010 berkata, beliau akan membangkitkan isu kos sara hidup untuk menawan hati pengundi di kawasan bandar itu.
“Rakyat terasa kesannya. PAS akan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan serta hutang PTPTN jika kami terpilih membentuk kerajaan.
“Sebagai ahli majlis yang sentiasa bekerja, saya rasa saya sudah menunjukkan bahawa saya boleh bekerja untuk rakyat,” katanya yang juga bekas guru.
Terdapat tiga kerusi DUN di bawah Petaling Jaya iaitu Bukit Gasing, Seri Setia dan Taman Medan. – 28 April, 2018.
Komen