Tinjauan dapati pengundi Pelangai lebih suka BN, Anwar


Ravin Palanisamy

Amizar Abu Adam merupakan calon Barisan Nasional bagi kerusi DUN Pelangai. – Gambar Facebook, 5 Oktober 2023.

BARISAN Nasional (BN) berpeluang besar untuk mengekalkan kerusi DUN Pelangai di Pahang pada Sabtu ini walaupun berdepan serangan oleh Perikatan Nasional di kerusi majoriti Melayu, menurut tinjauan bebas.

Tinjauan yang dijalankan oleh beberapa pakar politik dan penganalisis data mendapati BN mempunyai 55% peluang untuk mengekalkan kerusi kubu kuat mereka manakala 43.2% memihak kepada PN untuk menang.

Tinjauan lapangan dijalankan dari 29 September hingga 2 Oktober dengan seramai 1,772 responden mengambil bahagian. Ia mempunyai ralat margin 2.2 peratus.

Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar di mana kira-kira 73% adalah pengundi Melayu.

Kira-kira 49% daripada pengundi ini juga merupakan peneroka Felda.

Menurut tinjauan itu didapati naratif perubahan yang dibawa oleh PN masih belum menembusi sepenuhnya pengundi di DUN berkenaan.

Didapati naratif PN menukar kerajaan persekutuan atau negeri tidak membantu usaha mereka untuk memenangi kerusi itu.

Walaupun begitu dapatan menunjukkan terdapat peningkatan kecenderungan terhadap PN.

Tinjauan itu juga menunjukkan pengundi kini berpuas hati dengan prestasi kerajaan persekutuan dan negeri serta kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di negara ini.

“Walaupun sebelum ini sukar untuk mendapat kepercayaan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), tetapi nampaknya Felda semakin mesra dengan perdana menteri,” hasil kajian menunjukkan.

Selain itu kerajaan perpaduan negeri yang disokong impak positif Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail juga dilihat sebagai faktor lain mengapa BN akan mengekalkan kerusi itu.

Kajian mendapati terdapat peningkatan keyakinan di kalangan kaum Cina dan India untuk mengundi calon BN di Pelangai kerana mereka sedar perkongsian BN-Pakatan Harapan perlu diteruskan kerana tidak dapat menerima naratif ultra Melayu-Islam yang dibawa oleh PAS yang merupakan parti komponen PN.

Akhirnya tinjauan menunjukkan prestasi positif Adun Pelangai Johari Harun juga akan memberi impak dalam keputusan pilihan raya.

Tinjauan juga menunjukkan kemenangan ini akan meningkatkan kekuatan BN di negeri itu. – 5 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen