KEHANGATAN PRU14 di Parlimen Pandan semakin terasa apabila Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berdepan pertandingan lima penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi PKR yang disandang Rafizi Ramli itu.
Wan Azizah berkata dengan adanya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad, mereka mempunyai peluang cerah untuk mengubah kerajaan.
“Barisan Nasional (BN) kuat tetapi rakyat di sini mahukan perubahan dan mereka akan berikan kita kemenangan kali ini,” katanya.
Rafizi yang juga naib presiden PKR dilarang bertanding selepas dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas disabitkan bersalah mendedahkan butiran akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan pengerusinya, Dr Mohamad Salleh Ismail.
Pada jam 11.10 pagi tadi pegawai Hasrolnizam Shaari mengumumkan calon-calon bertanding di Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Selain Wan Azizah, calon kerusi Parlimen Pandan ialah Leong Kok Wee (BN), Mohamed Sukri Omar (PAS), Jenice Lee Ying Ha (PRM) dan calon bebas Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Shukri berkata sokongan yang diterima daripada penyokong di situ sangat positif.
“Kami turun ke akar umbi untuk mendengar keluhan rakyat sejak setahun lalu dan respons bagus.
“Sejak berpisah daripada Pakatan Rakyat tahun lalu ramai ahli mahu kami bertanding di sini,” katanya.
Khairul yang juga peguam kepada pendakwah kontroversi India, Dr Zakir Naik, menghantar borang pencalonan dengan berpakaian lengkap busana tradisional Melayu,
Katanya, beliau mempunyai peluang baik di Pandan kerana penduduk di situ mengenalinya yang memberikan bantuan guaman secara percuma.
“Setiap minggu saya bawakan sepasukan peguam untuk membantu masyarakat di sini dengan masalah mereka. Jika diberikan peluang saya akan terus membantu mereka dalam pelbagai cara dan membawa isu mereka ke Parlimen.”
Pada PRU 20133, Rafizi berjaya kekal di kerusi itu selepas menewaskan calon BN, Lim Chin Yee dengan majoriti 26,729 undi. – 28 April, 2018.
Komen