PERDANA Menteri Najib Razak akan berdepan pertandingan empat penjuru di kerusi tradisinya di Pekan yang dipegangnya sejak 1976.
Pegawai pengurus untuk Pekan, Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus mengumumkan semua calon layak untuk bertanding.
“SPR menerima empat pencalonan daripada calon. Dengan ini saya mengumumkan semua calon layak untuk bertanding,” katanya ketika mengumumkan senarai calon.
Selain Najib, calon lain ialah Zahid Mat Arip daripada Bersatu yang akan bertanding atas tiket PKR, Pesuruhjaya PAS Pekan Ahiatudin Daud dan calon bebas Abdul Kadir Sainudin yang juga bekas ahli PKR.
Ahiatudin ialah bekas tentera sementara Kadir dilaporkan keluar daripada PKR baru-baru ini untuk bertanding di Pekan.
Dua kerusi DUN dalam Parlimen Pekan iaitu Pulau Manis dan Peramu Jaya akan berdepan perlawanan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PAS.
Pengumuman itu disambut dengan sorakan penyokong BN dan PAS yang ketara lebih ramai berbanding penyokong PH.
Kerusi Pekan selama ini ditandingi oleh PAS tetapi diambil alih oleh PKR yang meletakkan Fariz Musa pada PRU13. Najib menewaskan Fariz dengan 51,278 undi majoriti. – 28 April, 2018.
Komen