Perikatan harap sokongan belia untuk menang PRN Selangor akan datang


Ravin Palanisamy

Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin berkata PN berharap kepada sokongan pengundi muda pada PRN Selangor akan datang untuk tawan negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 Oktober, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) bergantung kepada sokongan golongan muda untuk membentuk kerajaan negeri Selangor, kata setiausaha perhubungan PN negeri Dr Afif Bahardin.

Dengan jumlah pengundi muda dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Adun Taman Medan itu berharap ia akan memberi PN peluang untuk mentadbir negeri terkaya di negara ini.

“Kami yakin (untuk memenangi Selangor) dengan bertambahnya jumlah pengundi muda, terutama mereka yang mencecah usia 18 tahun.

“Empat hingga lima tahun akan datang kita akan melihat pertambahan pengundi muda lagi, di mana mereka menerima maklumat yang lengkap, terdedah kepada media sosial.

“Saya tidak bersetuju dengan ahli politik tertentu yang melabelkan pengundi muda mengundi berdasarkan kepada sentiment.

“Bila kita benarkan belia 18 tahun untuk mengundi, ia dengan keyakinan yang mereka akan dapat membuat keputusan sendiri dan memilih,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menerusi enam pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos lalu, PN menang banyak kerusi di Selangor, hingga menafikan jangkaan gabungan perpaduan the Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk mendapat majority dua pertiga.

PN menang 22 kerusi di Selangor, dengan Afif menang di Taman Medan dengan hanya 30 undi.

Afif berkata PH-BN gagal menangani kebimbangan golongan muda, menjadikan PN berpeluang menawarkan alternatif lebih baik.

“Jika mereka (PH-BN) gagal menawan pengundi muda, maka itu bukan kegagalan orang muda, tetapi kegagalan gabungan anda.

“Bagi menangani isu belia, PN fokus kepada ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan.

“Ini adalah masalah dihadapi rakyat sehari-hari dan walaupun PH cuba menunjukkan PN hanya bercakap tentang kaum dan agama, kempen itu makan diri,” kata Afif yang juga bekas ahli PKR.

Sebelum PRN, kaji selidik dijalankan Ilham Centre mendapati pengundi muda lebih memilih PN berbanding PH.

Afif berkata pengundi bukan Melayu mula mendekati PN apabila mereka sedar gabungan itu tidak rasis.

Katanya, lambat laun, sokongan pengundi bukan Melayu untuk PN akan semakin bertambah.

“Kebanyakan pengundi bukan Melayu tidak percaya bila PH kata PN rasis.

“Bila kita jelaskan kepada mereka, lambat laun pengundi bukan Melayu akan sedar PN hanya fokus kepada mengutamakan kepentingan negara,” katanya. – 5 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen