JOHARI Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN) dijangka akan menghadapi pertembungan tiga penjuru bagi mempertahankan kawasannya, Titiwangsa, dengan menentang calon PKR, Rina Mohd Harun dan Mohamad Noor Mohamad dari PAS.
Pada 10.45 pagi tadi, pegawai pengurus pilihan raya Asiah Husin mengumumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima borang pencalonan ketiga-tiga calon. Pengumuman itu diikuti dengan sorakan dari para penyokong mereka di luar dewan pencalonan.
Pada 2013, Johari menang tipis selepas menewaskan calon PAS, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dengan majoriti hanya 866 undi.
Calon-calon dijangka akan membawa isu warisan tanah di Titiwangsa, iaitu tanah rizab Melayu Kampung Baru dan Kampung Keramat serta penempatan penduduk India Kampung Pandan.
“Warisan tanah di penempatan India di Kampung Pandan India… kira-kira 90% sudah mendapat lot mereka,” kata Johari kepada wartawan di pusat penamaan calon.
“Di Kampung Pandan hari ini, saya telahpun menjadikannya setinggan sifar di kawasan kami”.
Calon PAS, Noor berkata beliau akan memberi tumpuan kepada pembangunan di Kampung Baru manakala pembangunan di Kampung Keramat akan dikekalkan.
“Di Kampung Pandan, kita (PAS) lihat ada masalah PPR dan kita akan pastikan mereka akan mempunyai rumah serta tempat parkir yang elok untuk mereka,” kata Noor yang merupakan Pesuruhjaya PAS negeri.
Calon PKR, Rina, sebaliknya berkata beliau akan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan sekiranya beliau memenangi kerusi Titiwangsa.
Sehingga 10 April, angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan terdapat 61,598 pengundi berdaftar di Titiwangsa yang terdiri dari 70.49% Melayu, 17.30% Cina dan 9.42% India. – 28 April, 2018.
Komen