DR Mahathir Mohamad sah akan bertanding dalam pilihan raya terakhirnya di Langkawi pada 9 Mei dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan Najib Razak.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan berdepan dengan pertembungan tiga penjuru melawan calon Barisan Nasional (BN) Nawawi Ahmad dan calon PAS Zubir Ahmad.
Pada PRU13, calon BN Nawawi, menewaskan calon PKR Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi.
Selepas diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Dr Mahathir yang berumur 93 tahun sah menjadi calon, lebih 2000 penyokongnya yang menanti di luar Pejabat Tanah dan Daerah Langkawi menyambut dengan laungan “hidup Tun”, “reformasi” dan “Pakatan Harapan”.
Ketika SPR mengumumkan nama Nawawi sebagai calon BN, penyokong PH menyambutnya dengan laungan “boo”.
Selepas 15 tahun bersara daripada politik sejak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, Dr Mahathir kembali menyertai pilihan raya, melawan BN yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.
Ironinya, Dr Mahathir akan bertanding menggunakan logo parti PKR yang dipimpin bekas musuh ketatnya, Anwar Ibrahim.
Penganalisis Prof Bridget Welsh memberitahu Malaysia Decides, Dr Mahathir mempunyai kelebihan untuk menang berbanding calon BN dan PAS.
“Saya boleh katakan peluang Dr Mahathir 55 peratus berbanding calon-calon lain.
“Tetapi beliau harus bekerja keras dan berhati-hati dengan ‘pengundi baru pintu belakang’,” katanya.
Welsh berkata PAS tidak akan memberi cabaran kepada Dr Mahathir di peringkat Parlimen tetapi mungkin memberikan cabaran di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pengundi Langkawi tahu pertembungan ini tentang perebutan kuasa di peringkat nasional.
“Dr Mahathir telah berjaya meletakkan nama Langkawi di peta dunia dan penduduk Langkawi berbangga dengan ini,” katanya. – 28 April, 2018.
Komen