KUMPULAN penyokong PAS bertakbir dan berselawat ketika mengiringi calon mereka, R Kumutha ke pusat penamaan calon di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, pagi ini.
Kumutha hadir bersama calon PAS bagi kerusi DUN Permas dan Parlimen Pasir Gudang Ab Aziz Abdullah tepat pukul 9 pagi, sebaik sahaja pusat pencalonan dibuka.
Kumutha bakal menentang Tan Cher Puk dari Barisan Nasional (BN) dan Liow Chai Tung dari Pakatan Harapan (PH) di kerusi berkenaan.
Liow diiringi oleh penyokong PH yang melaungkan slogan “Reformasi’”, “Hidup Rakyat” dan “tangkap Jho Low”.
Terdahulu, menteri besar sementara, Mohamed Khaled Nordin yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas hadir kira-kira jam 8.45 pagi ke pusat penamaan calon.
Penyokong BN yang berbaju biru ditempatkan di bawah dua khemah besar kira-kira 100 meter daripada penyokong PH dan PAS di perkarangan stadium.
Kira-kira pukul 7 pagi, jalan utama berhampiran stadium juga ditutup pihak polis dan mengakibatkan kesesakan.
Bagi kerusi Pasir Gudang, selain calon PAS, Khaled juga bakal berdepan Hassan Abdul Karim daripada PH dan calon Bebas, Sey Jock.
Manakala bagi kerusi DUN Permas, pengerusi BN Johor itu akan menentang Ab Aziz daripada PAS dan Che Zakaria Mohd Salleh (PH) serta calon Bebas, Rohani Yaacob.
Khaled kembali bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang, yang dimenanginya pada 2004 dan 2008.
Pada 2013, beliau bertanding di DUN Permas dan kerusi Parlimen itu ditandingi Normala Abdul Samad pada 2013 yang memenanginya dengan majoriti 935 undi.
Normala bagaimanapun digugurkan daripada senarai calon dalam pilihan raya kali ini. – 28 April, 2018.
Komen