Laungan 'Hidup Warisan' tenggelamkan BN di Semporna


The Malaysian Insight

LEBIH 3,000 penyokong Warisan mengiringi presiden mereka Shafie Apdal dan calon-calon parti itu bagi penamaan calon kerusi Parlimen Semporna dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya. 

Mereka berkumpul sejak jam 6 pagi lagi di hadapan pejabat Warisan Semporna menanti kehadiran Shafie sebelum berarak kira-kira 600 meter ke Stadium Semporna menunggu Shafie dan tiga lagi calon yang tiba pada jam 9.05 pagi. 

Seorang penyokong Warisan, Halim Hamid dari Tagasan berkata kemunculan ramai penyokong mengiringi calon kesayangan masyarakat Semporna itu adalah kerana mereka percaya kali ini Umno-Barisan Nasional (BN) pimpinan Musa Aman boleh ditewaskan. 

“Sampai masanya. Musa dan BN tengok kita ramai mereka takut. Sampai masanya ‘Sabah Ubah’!” jerit beliau sambil disambut puluhan penyokong lain yang mengibarkan bendera Warisan. 

Selepas tiga jam menunggu, penyokong Warisan berarak sambil melaungkan kata-kata “Hidup Warisan” sebelum menyertai kumpulan penyokong BN, PAS dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS) di Padang Stadium Semporna. 

Laungan “Hidup Barisan” oleh kira-kira 1,500 penyokong BN ditenggelami oleh penyokong Warisan dan kedua-duanya langsung tidak berganjak walaupun hujan mula turun dengan lebat sejak jam 10 pagi. 

BN mencalonkan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Ramli Marhaban untuk mencabar Shafie. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen