BIARPUN Bersatu dilanda masalah berkenaan status, Presiden parti, Muhyiddin Yassin akan mempertahankan kerusi parlimennya bagi penggal kelapan, dan cuba kembali semula ke Dewan Undangan Negeri Johor.
Dengan diiringi oleh lebih daripada 1,000 penyokong Pakatan Harapan (PH), bekas timbalan perdana menteri berusia 70 tahun itu merupakan yang paling awal tiba untuk menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi parlimen Pagoh dan DUN Gambir di pusat penamaan calon di Pagoh, pagi ini.
Muhyiddin dijangka akan melawan pemangku ketua bahagian Umno Pagoh, Ismail Mohamed, yang turut menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi tadi. Calon Barisan Nasional (BN) itu diiringi lebih daripada 1,000 penyokong, manakala calon PAS diiringi kurang daripada 100 penyokong.
Ismail merupakan timbalan ketua Muhyiddin di bahagian Pagoh sebelum bekas timbalan perdana menteri itu dipecat dari Umno pada 2016.
Calon PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz, 34, adalah anak kepada Ketua Majlis Syura PAS, Dr Mahfodz Mohamed.
Pada pilihan raya umum lepas, Muhyiddin menewaskan Mohamed Rozali Jamil (PAS) dengan 12,842 undi selepas memperoleh 64.8% undi popular. Muhyiddin kali pertama menang kerusi itu pada 1978 sebelum berpindah ke kerusi DUN Bukit Serampang (1986-1995).
Di kerusi DUN, Muhyidddin yang juga bekas menteri besar Johor (1986-1995) dijangka akan berdepan dengan penyandang dari BN, M. Asojan dan Mahfodz di kerusi Bukit Gambir.
Pada pilihan raya umum lepas, Mahfodz kalah kepada Asojan dengan hanya 310 undi.
Pusat pencalonan di kompleks sukan Pagoh adalah untuk kerusi parlimen Pagoh serta kerusi DUN Bukit Kepong dan Bukit Pasir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan calon-calon selepas nama-nama mereka dihantar untuk pemeriksaan di pejabat SPR negeri. Pencalonan akan ditutup pada jam 10 pagi. Tidak akan ada lagi tempoh bantahan. – 28 April, 2018.
Komen