Lautan 3 warna iringi calon ke pusat penamaan di Gombak


The Malaysian Insight

KAWASAN di sekitar pusat pencalonan di Gombak dipenuhi lautan penyokong Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan juga PAS yang menunggu calon masing-masing menyerahkan borang pencalonan.

Kira-kira 2,000 penyokong tersebut memenuhi kawasan sekitar SMK Sungai Pusu seawal jam 7 pagi untuk menunggu calon masing-masing mendaftarkan diri.

Penyandang kerusi tersebut, Mohamed Azmin Ali yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru berkata beliau mahu pilihan raya bersih diadakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

“Saya bersyukur melihat sambutan yang begitu baik oleh penyokong pakatan. Saya berharap proses pilihan raya akan berjalan dengan lancar dan aman.

“Saya berharap pengundi akan memberikan sokongan yang padu kepada calon Pakatan Harapan,” kata menteri besar Selangor itu kepada pemberita sebelum masuk ke dalam dewan.

Manakala calon BN untuk kerusi Parlimen tersebut, Abdul Rahim Pandak Kamaruddin berkata pengundi perlu terus bersama parti tersebut.

PAS mengemukakan Khairil Nizam Khirudin untuk kerusi Parlimen Gombak, Mohamad Ibrahim bagi DUN Sungai Tua, Hasbullah Mohd Ridzwan di Gombak Setia dan Kamalulhysham Mohd Suhut di Hulu Kelang.

Untuk kerusi DUN, BN menampilkan N. Rawisandran di Sungai Tua, Megat Zulkarnain Omardin di Gombak Setia dan Ismail Ahmad bagi Hulu Kelang.

Turut muncul di dewan penamaan calon hari ini adalah seorang individu bernama Badrul Hisam Md Zin yang bercadang untuk mendaftarkan diri sebagai calon DUN Sg Tua.

Pendaftaran bermula 9 pagi dan nama calon akan diumumkan SPR jam 10 pagi.

Sementara itu, bekas ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Noor yang mengiringi Azmin dihalang masuk ke dewan kira-kira jam 9 pagi tadi kerana tidak terlibat dalam proses penamaan calon sebagai pencadang mahupun penyokong. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen