Guru bangsa A Samad Ismail


Faisal Tehrani

Allahyarham A Samad Ismail tokoh wartawan ulung dan telah bergelumang dengan dunia persuratkhabaran sejak era zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. – Gambar Facebook, 3 Oktober, 2023.

DALAM tahun-tahun 1980-an, salah satu hiburan untuk kami ialah dengan membaca majalah Gila-Gila. Memang kartun yang diperagakan menarik perhatian. Namun demikian, untuk saya, yang paling menarik perhatian adalah tulisan-tulisan pojok A Samad Ismail. 

Beliau adalah tokoh wartawan ulung dan telah bergelumang dengan dunia persuratkhabaran sejak era zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. 

Sebagai tokoh wartawan, Samad adalah jurnalis yang dibawa mengiringi Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak bagi merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu di London pada 1953. 

Kemudian, pada 1954, Samad telah diberi penghormatan mengetuai delegasi wartawan dalam persidangan wartawan Afro-Asia yang bersejarah di Bandung. 

Harus dinyatakan, Samad tidak dianggap tokoh semata-mata kerana pernah menjadi wartawan dan saksi penting kepada beberapa insiden penting tanahair. 

Akan tetapi, pada 1972, Samad ditugaskan untuk memimpin gerakan memindahkan syarikat Straits Times supaya dimiliki oleh rakyat Malaysia dan tidak lagi perlu bergantung ke Singapura. 

Dalam diam, Samad berjaya menggulingkan kepimpinan akhbar tersebut untuk membolehkan pemindahan modal dan pemilikan syarikat ini dibawa ke Malaysia. 

Makanya pada 1974 beliau dilantik sebagai pengarang urusan Kumpulan The New Straits Times, suatu posisi atau kedudukan yang membolehkan beliau mengawal semua berita, rencana dan pemikiran dalam syarikat akhbar yang besar ini, justeru mempengaruhi masyarakat.

Dalam bidang kesusasteraan Melayu, Samad adalah penyokong kuat gerakan Asas 50 di Singapura, dan bertanggungjawab membuka ruangan cerpen di Berita Harian dan Berita Minggu, demi mendaulatkan bahasa Melayu. Selain itu, Samad adalah panel hakim Hadiah Sastera Negara pada 1971. 

Pada 1976, Samad dianugerahkan Hadiah Pejuang Sastera Malaysia dan wang sepuluh ribu ringgit (bersama-sama lima tokoh lain iaitu Pak Sako, Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said dan Shahnon Ahmad) oleh kerajaan.

Akan tetapi pergolakan politik dalam Umno pada tahun tersebut telah meletakkan persahabatannya dengan Tun Abdul Razak ke jurang bahaya. Musuh politik Razak menyerkap Samad lantas menuduh beliau sebagai pengikut komunis. 

Tuduhan dan penganiayaan politik membuatkan Samad di tahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA pada 22 Jun 1976, dan hanya dibebaskan pada tahun 1981 oleh perdana menteri ketika itu, yakni Dr Mahathir Mohammad. 

Samad banyak mengarang cerpen pada tahun 1950-an. Beliau juga menulis novel seperti Patah Sayap Terbang Jua (1966), Hud (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Tembok Tidak Tinggi (1967), Hussein Zet (1970) dan barangkali yang paling dikenal orang, novel berjudul Sutinah (1975).  

Selepas melepaskan peranannya dalam bidang kewartawan, Samad banyak menulis kolum di majalah Gila-Gila. Tulisan pojoknya memiliki ciri khas satira. 

Sebagai kanak-kanak yang belum mengerti genre dan pendekatan ini, saya kadangkala bingung dan percaya dengan apa yang disogoknya. Padahal Samad banyak mengolok-olokkan tokoh tatkala itu, seraya menyuntik pandangan-pandangan beliau mengenai isu semasa.

Sebahagian tulisan pojok Samad ini dibina dalam bentuk naratif dan bercerita, tetapi menggunakan bingkai satira yang membaur dan mengkaburkan realiti dan karikatur (sesuai dengan majalah Gila-Gila). 

Namun demikian, Samad menggunakan kebolehannya untuk mengherdik secara tajam golongan tertentu. Selalunya yang menjadi sasaran nakal beliau adalah ahli politik.

Pada hujung 1980-an, Samad sudah bercakap mengenai kepentingan kita meramaikan ahli politik wanita, kerana mereka akan mentadbir dan memimpin secara ‘lain’. 

Dalam kritikan yang menyengat, Samad pernah membayangkan kaum lelaki dialahkan oleh parti politik yang dibarisi oleh hanya wanita: “Akhirnya kaum wanita, tak kira keturunan, tak kira agama, tak kira parti, tak kira perbezaan taraf, sama ada kaya atau miskin, sama ada Melayu atau Cina atau Kadazan, sama ada PAS atau Umno atau DAP, tak kira umur… semuanya bersatu menubuhkan sebuah parti dengan dasar perjuangannya terjurus kepada satu matlamat saja iaitu mendapatkan penindasan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, diskriminasi kaum lelaki… entah bagaimana, dengan izin Allah SWT, dalam pilihan raya umum entah bila aku tak begitu pasti, mereka menang lebih dua pertiga dalam Parlimen… kemudian dalam pilihan raya-pilihan raya berikutnya, mereka membolot semua kerusi dalam Parlimen, dalam Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia…”

Samad melihat ‘pekerjaan’ sebagai ahli politik yang kemudian terlantik sebagai Yang Berhormat hanyalah untuk memenuhi agenda tembolok. 

Dalam satu tulisan pojoknya, Samad berkisah mengenai hasrat seorang pekerja kampung untuk menang dalam pilihan raya: “Saya menginterbiu seorang calon dan bertanya mengapa dia hendak bertanding dalam pilihan raya umum sedangkan dia hanya pekerja kampung sahaja, dengan pendapatan kira-kira $100.00 sebulan. 

“Jawabnya: ‘Saya ingin berkhidmat untuk rakyat. Saya sudah bosan bekerja menoreh getah dan mengambil upah di ladang kelapa sawit, bekerja sambilan sebagai buruh kontraktor membersihkan parit dan longkang di pekan saya. Dengan menjadi wakil rakyat nanti, saya dapat berkhidmat untuk negara pula. Pengalaman saya sebagai penoreh getah, sebagai pekerja di ladang kelapa sawit dan sebagai buruh mencuci parit dan longkang di pekan selama 20 tahun, mengajar dan mendidik saya untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira wang ringgit.’ 

“Saya mencelah: ‘Tetapi kalau pak cik menjadi wakil rakyat, pak cik akan mendapat elaun bulanan yang lumayan, dan mendapat pula kedudukan yang tinggi sebagai Yang Berhormat… kalau pak cik bernasib baik, pak cik boleh menjadi pemaju rumah, mendapat kontrak besar, boleh berkongsi dengan usahawan-usahawan Cina.., pendeknya, pak cik boleh hidup lebih senang dan mewah daripada sekarang.”

Samad juga menukilkan gejala surat layang, atau dalam dunia sekarang mungkin fitnah di media sosial yang berleluasa. Fitnah ini menurut Samad adalah racun kepada kesentosaan politik dan negara. 

Beliau mengulas pandangan bahawa budaya fitnah ini merebak lantaran tiadanya ketelusan dalam pelaporan akhbar, pun Samad menghujahkan yang kebebasan bersuara dan melaporkan dalam kalangan media boleh sahaja dimanipulasi secara tidak jujurnya; tulis Samad:

“Sejak heboh mengenai sindrom surat layang dalam perhimpunan agung Umno tempoh hari, menteri kesejahteraan dan keselamatan umum telah membatalkan undang-undang yang dianggap oleh media menyekat kebebasan pengarang-pengarang untuk menyiarkan tulisan-tulisan yang terus-terang mengkritik pemimpin. Pak menteri memberitahu saya bahawa, ramai orang mengatakan surat layang menjadi penyakit masyarakat Melayu, kerana pihak media disekat menyiarkan hal-hal sebenarnya mengenai pemimpin-pemimpin. Sekiranya media diberikan kebebasan penuh menyiarkan kritikan terhadap pemimpin, budaya surat layang akan lenyap sebagai budaya bangsa Melayu. Penulis-penulis surat layang tumbuh seperti cendawan kerana kerajaan menyekat kebebasan akhbar, demikian menurut pengkritik-pengkritik itu. Hapuskan sekatan-sekatan itu, maka akan lenyaplah sindrom surat-surat layang, demikian disarankan ole pengkritik-pengkritik itu. Maka kerajaan pun bersetuju mencabut OSA, ISA, undang-undang menghasut, Undang-Undang Libel dan sebagainya untuk memberi kebebasan sepenuhnya kepada media menyiarkan apa sahaja yang mereka suka. Maka mulailah akhbar-akhbar, terutama media tabloid menggunakan kesempatan itu dengan menyiarkan pelbagai cerita dan tulisan yang semuanya berupa pendedahan mengenai penyelewengan, kemungkaran, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya…”

Akan tetapi, kebebasan yang diberikan itu bukanlah dengan tiada tanggungjawab. Mungkin sahaja Samad sudah membayangkan dilema yang bakal dihadapi oleh Fahmi Fadzil, iaitu menteri komunikasi dan digital hari ini. Tulis Samad begini: 

“Memang pula satu syarat penting yang dibuat oleh pak menteri apabila dia membatalkan undang-undang OSA, ISA, undang-undang menghasut ialah pengarang mesti menghadapi risiko perbuatannya sendiri. 

“‘Kamu mahu kebebasan, kami beri kebebasan kepada kamu menulis apa sahaja yang kamu suka, yang kamu mahu. Tapi kalau ada sesuatu bala nanti yang menimpa kamu, jangan datang mengadu kepada kerajaan. Berani makan, berani tanggung… Kamu mesti jadi anak lelaki… berani menghadapi risiko perbuatan kamu sendiri’, kata pak menteri kepada pengarang-pengarang media.”

Bercakap tentang korupsi, Samad juga menelah gejala rasuah tidak hanya akan berlaku oleh kerakusan dan ketamakan ahli politik tanpa gotong royong dan bantuan pihak penjawat awam. 

Samad memang tidak segan silu membantai pegawai kerajaan:

“Kamu lihat apa sudah jadi kalau pegawai-pegawai kita tidak cekap, tidak bertanggungjawab… Ribuan kilang-kilang haram terdiri di mana-mana hingga membawa mala petaka… kalau pegawai-pegawai dan pemimpin-pemimpin kita cekap, waspada, tegas… takkan berlaku pengotoran sungai-sungai kita, tak akan berani sindiket-sindiket haram menebang hutan. Kamu harus mengerti, bila negara makin maju, makin banyak masalah yang kamu akan hadapi… dua puluh tahun dahulu, tak ada masalah najis dadah… tak ada bahaya Aids… kadar jenayah tidak setinggi sekarang… mengapa? Di tengah-tengah kemakmuran, terdapat kemiskinan… orang mahu cepat kaya… lalu mereka mencuri, menipu, melakukan rasuah… anak-anak kita sekarang lebih pandai dari generasi sebelum mereka… tetapi pandai sahaja tidak cukup. Semakin pandai, semakin bergeliga otak untuk menipu, untuk buat songlap… aku senang hati kamu kini menekankan nilai-nilai kerohanian… kekuatan kerohanian adalah benteng untuk menangkis segala godaan material, nafsu…”

Di sebalik sindir dan perli dalam bentuk satira. Ada juga tulisan-tulisan Samad yang tajam dan memang bertujuan makan dalam. Dalam sebuah karangannya di majalah Gila-Gila itu, Samad memperihalkan ketidakcekapan kerajaan Terengganu menguruskan kumbahan dan najis sehingga menghindarkan pembangunan pelancongan di negeri berkenaan. 

Samad mengatakan “Kerajaan Terengganu hendak memperuntukkan tiga ratus juta ringgit untuk membangun kemudahan-kemudahan bagi menarik pelancong ke negeri itu. Pada hemat saya agak lebih penting untuk kerajaan Terengganu membersihkan sungai-sungainya yang telah dikotorkan oleh najis manusia. Salah satu cara membatasi pengotoran sungai-sungai di Terengganu ialah dengan membiayai penduduk yang menggunakan sungai untuk membuang najis mereka untuk mendirikan tandas-tandas curah. Kita telah pun maklum bagaimana pengotoran Sungai Kelantan yang disebabkan ia digunakan sebagai tandas oleh penduduk-penduduk yang tinggal di tebing-tebing sungai itu…” 

Tentu, apakah perubahan yang telah berlaku setelah beberapa dekad?

Tidak ramai generasi muda mengenal A Samad Ismail hari ini, padahal beliau adalah salah seorang guru bangsa. 

Salah satu punca kehilangan nama beliau dari kamus sastera dan kewartawanan tanahair ialah kerana lemahnya semarak dan rasa gian masyarakat terhadap seni dan budaya. 

Kita tidak mengunggulkan guru bangsa tetapi memuja manusia instan yang tidak memberi pelajaran. Inilah dasar atau fondasi yang harus dibina oleh sebuah kerajaan madani. 

Malang, pihak berwajib juga tidak berasa apa-apa untuk tidak memugar kembali saranan dan pelajaran yang ditawarkan orang seperti A Samad Ismail. 

Akibatnya karangan-karangan arwah yang bagus-bagus terbenam dalam arkib dan berlalu sama dengan generasi pembaca yang semakin tua seperti saya. – 3 Oktober, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen