Permohonan pekerja asing 3 subsektor dibuka 10 Oktober, kata menteri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Permohonan bagi pekerja asing untuk sektor tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas, akan dibuka semula 10 Oktober depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2023.

PERMOHONAN bagi pekerja asing untuk sektor tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas, akan dibuka semula 10 Oktober depan.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata permohonan itu dibuka semula selepas dibekukan pada 2009 berikutan mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha tiga sub sektor berkenaan.

“Perkara ini sudah dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 September di mana kerajaan bersetuju untuk memberikan kelulusan seramai 7,500 pekerja asing dalam tiga sub sektor ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Sivakumar berkata tindakan itu susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengumumkan untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga sub sektor berkenaan.

Jumlah 7,500 itu merangkumi 5,000 pekerja asing sedia ada dan 2,500 permohonan baru.

Kriteria bagi sub sektor tukang emas adalah sebanyak 15% daripada jumlah pekerja tempatan diperuntukkan untuk keluasan lantai sama atau melebihi 1,000 meter persegi.

Manakala bagi sub sektor gunting rambut pula seorang pekerja tempatan bersamaan dengan dua pekerja asing dengan kapasiti tiga kerusi.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata tempoh penggajian bagi ketiga-tiga sub sektor adalah mengikut dasar semasa iaitu 10 tahun tambah tiga tahun.

“Bagi pekerja sedia ada yang memenuhi tempoh penggajian 10 tahun tambah tiga tahun perlu dihantar pulang,” katanya.

Malah, permohonan pembaruan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh dibuat pada 10 Oktober depan.

Sivakumar berkata permohonan dibuka sehingga kuota yang ditetapkan oleh kerajaan dipenuhi dan tiada lanjutan permohonan dibenarkan.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu namun, beliau meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja, melibatkan tiga sektor berkenaan. – 2 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen