Perang untuk masa depan Pulau Pinang kini bermula, kata Guan Eng


The Malaysian Insight

HARI ini bermulanya pertempuran di Bagan, Pulau Pinang dan Malaysia, dan ketua menteri sementara Lim Guan Eng berkata pilihan bagi pengundi di negeri ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) itu jelas.

Bagi Setiausaha Agung DAP berusia 57 tahun yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan di tanah besar Pulau Pinang bagi penggal ketiga itu, beliau menggambarkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini sebagai “perjuangan untuk masa depan Bagan dan Seberang Perai”.

Ketua Menteri selama dua penggal itu berkata pengundi di Pulau Pinang mempunyai pilihan antara masa depan dan gelap, dengan membandingkan apa yang ditawarkan oleh PH dan Barisan Nasional (BN).

“Manifesto PH menawarkan LRT untuk Pulau Pinang dan terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Ajam di Butterworth dengan Gurney Drive di pulau. Akan datang, Pulau Pinang boleh naik LRT dari tanah besar ke pulau.

“Berbanding PH, BN tiada rancangan untuk Butterworth. Lebih teruk lagi, mereka tiada rancangan LRT untuk ditawarkan kepada rakyat. Kita hendak projek yang menjamin masa depan Pulau Pinang atau manifesto BN untuk membatalkannya?”

Lim, yang bercakap kepada pemberita di pusat operasi pilihan raya di Bagan Jermal pagi tadi, merujuk kepada ikrar pilihan raya BN untuk membatalkan projek terowong bawah laut serta rancangan-rancangan pembangunan utama lain. Walaupun Pulau Pinang akan menyaksikan pertembungan berbilang penjuru di kesemua 40 kerusi DUN dan 13 kerusi parlimen, PH Pulau Pinang tidak menyebut parti-parti lain.

“Jika rakyat negeri ini mahu Butterworth dan Seberang Prai menjadi sebahagian daripada bandar pintar besar di Pulau Pinang, dan mereka mahu infrastruktur ini, kami harap mereka akan menyokong PH,” katanya.

Pulau Pinang menjadi kubu kuat pembangkang sejak pilihan raya 2008 yang menyaksikan peralihan pentadbiran kerajaan negeri. DAP kini memegang 19 kerusi DUN, manakala PKR, 10. Bekas sekutu DAP, iaitu PAS memegang satu kerusi DUN dan baki 10 lagi dipegang BN.

Pada PRU14 ini, DAP akan mempertahankan 19 kerusinya manakala PKR 14; Bersatu,4 dan Amanah, 3. Kesemua parti komponen PH akan bertanding menggunakan logo PKR. Bagi kerusi parlimen pula, parti komponen PH memegang 10 daripada 13 kerusi. BN memegang tiga kerusi di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen