NIK Omar Nik Abdul Aziz, anak lelaki sulung bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Chempaka, Kelantan.
Menurut sumber dari Kota Bharu, perkara ini diputuskan lewat malam tadi di pejabat PH Kelantan.
“Ya, Nik Omar akan bertanding di Chempaka, kerusi yang pernah diwakili ayahnya sebelum ini,” kata sumber dari Kota Bharu.
Nik Omar sebelum ini dilaporkan tidak menyertai Amanah demi menghormati ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak yang tidak mahu berlaku perpecahan dalam keluarga besar Nik Abdul Aziz.
Adik Nik Omar, Nik Mohamad Abduh pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini dicalonkan oleh PAS bertanding di Parlimen Bachok. Beliau adalah bekas ahli Parlimen Pasir Mas pada penggal yang lepas.
Ketika mengumumkan barisan calon PH di Kelantan baru-baru ini hanya nama Mohamad Omar diumumkan tetapi tidak ada sesiapa naik ke pentas memperkenalkan diri.
“Memang sengaja dibuat begitu,” kata AJK Amanah Kelantan yang tidak mahu disebutkan namanya itu.
PH juga menukarkan calonnya di DUN Kijang ekoran isu laporan polis yang dibuat ke atasnya. – 28 April, 2018.
Komen