KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bermula dengan sensasi apabila Dr Mahathir Mohamad mendakwa pesawatnya yang dijadualkan ke Langkawi mengalami kebocoran teruk dan tidak dapat dibaiki dalam tempoh yang singkat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ada pihak mahu melihatnya terkorban dalam nahas pesawat ke Langkawi untuk berkempen sekali gus menggagalkannya untuk hadir pada hari penamaan calon.
“Saya sepatutnya sampai awal di Langkawi, sebelum solat Jumaat tapi ada kapal terbang yang saya naik rosak, nasib baik juruterbang dapat kesan awal jika tidak mungkin saya meninggal dunia akibat nahas.
“Kemudian saya cuba minta pinjam pesawat kawan-kawan namun mereka tidak dapat meminjamkan kepada saya kerana dihalang pihak tertentu, tetapi syukurlah ada seorang rakan yang sudi pinjamkan pesawatnya. Dapatlah saya sampai ke Langkawi untuk majlis ini dan penamaan calon esok,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan dan Minum Petang Bersama Wanita Cina dan India PH di Langkawi, semalam.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai pada malam tadi dilaporkan sebagai berkata, siasatan segera akan dijalankan di ke atas dakwaan Dr Mahathir bahawa pesawat itu disabotaj.
“Ini adalah tuduhan serius,” katanya yang menambah, siasatan itu juga bagi menentukan sama ada dakwaan tersebut hanyalah eksploitasi politik.
Dr Mahathir pula berkata beliau tidak menolak kemungkinan pesawat itu disabotaj pihak tertentu.
“Ada orang yang rancang ini saya fikir, tak pernah berlaku dalam sejarah saya naik kapal terbang ni sudah beribu kali tapi inilah kali pertama.
“Saya nak naik saja barulah juruterbang bagi tahu yang kapal terbang itu rosak dan dia tak boleh terbang, dia akan cuba perbetul, baiki tetapi tak dapat,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau sudah memberitahu kepada semua pemimpin PH yang pihak tertentu akan melakukan apa sahaja untuk menghalang calon tiba di pusat penamaan calon.
“Jadi mereka boleh menang tanpa bertanding. Saya diberi amaran dan ini akan dilakukan oleh musuh kita tetapi saya tak sangka saya sendiri nak dijadikan mangsa sekatan supaya saya tak dapat sampai ke Langkawi.
“Nampak mereka sampai tahap nak jatuhkan kapal terbang sampai nak jatuh mati. Dia takut sampai tahap nak bunuh orang kerana dia nak cari kemenangan.
“Saya yakin rakyat tak suka pemerintah yang guna cara begini untuk memenangi PRU,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, beliau tidak akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan mendakwa ia tidak akan disiasat.
“Saya tak nak buat laporan polis kerana saya tahu tidak akan ada siasatan dijalankan meskipun saya bercakap benar,” katanya. – 28 April, 2018.
Komen