CUCU bekas timbalan perdana menteri, Ghafar Baba, Zahid Mat Arip, akan menentang Najib Razak di kerusi Parlimen Pekan walaupun dirinya terbabit dengan kontroversi.
Disiasat berhubung pembelian hotel dengan harga lebih tinggi di Kuching oleh Felda International Corporation (FIC), Zahid dijangka berkempen mengenai tuduhan rasuah dan kleptokrasi terhadap Najib.
“Sumber isu yang melanda negara ini berpunca daripada calon Parlimen Pekan. Beliau adalah sumber masalahnya. Saya hanya mahu menyingkirkannya,” kata Zahid, ahli majlis tertinggi Bersatu.
Pekan adalah kubu kuat Najib sejak beliau mengambil alih kerusi itu selepas kematian bapanya, perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein, pada 1976.
Zahid, yang tidak menghadapi sebarang pertuduhan terhadap urus niaga FIC, yakin dapat menarik perhatian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berdasarkan faktor yang pengundi Pekan sudah bosan dengan skandal yang mencemari wakil rakyat mereka.
“Saya yakin kali ini saya boleh menang. Saya percaya pengundi Pekan akan tahu bagaimana untuk membezakan antara seorang pencuri, kleptokrat dan seseorang yang ingin berbuat baik kepada mereka.”

Zahid sebelum ini memfailkan saman untuk mengubah status Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tetapi usaha itu sia-sia. Beliau juga dilihat lantang bersuara terhadap pentadbiran Najib dan Umno.
Zahid adalah bekas pegawai khas kepada bekas pengerusi Felda Isa Samad, yang tidak terpilih sebagai calon BN dalam pilihan raya walaupun spekulasi mengenai hal itu sebelumnya. Isa yang juga pengerusi FIC, sebuah anak syarikat Felda, dan terlibat dengan pembelian hotel di London dan Kuching.
Zahid berkata walaupun sekiranya beliau gagal menawan Pekan, kehadirannya akan “menakutkan” Najib dengan bertindak memberikan pelbagai insentif kepada penduduk di situ.
“Jadi, ia juga mungkin menjadi satu rahmat (kepada pengundi Pekan) bagi saya datang ke sini,” katanya.
Pada 2013, pembangkang meletakkan Fariz Musa daripada PKR untuk menentang Najib, yang menang dengan 51,278 undi.Najib pada Februari memperuntukkan RM564 juta untuk bantuan banjir di Pekan. – 28 April, 2018.
Komen