Pekerja gig mahu campur tangan kerajaan dalam Belanjawan 2024


Alfian Z.M. Tahir

Pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing berharap kerajaan akan memberi Belanjawan 2024 yang bermanfaat untuk pekerja gig bagi melindungi hak mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2023.

PEMANDU e-hailing dan penunggang p-hailing berharap kerajaan akan memberi Belanjawan 2024 yang bermanfaat untuk pekerja gig bagi melindungi hak mereka.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka meluahkan kebimbangan mengenai isu kadar rendah yang tidak pernah berakhir antara mereka dan majikan serta skim keselamatan lain.

Mereka menambah perkara itu belum diselesaikan walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji untuk meneliti mengenainya pada Julai.

Timbalan Presiden Persatuan Penunggang Penghantaran P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani berharap kerajaan akan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) semasa pembentangan belanjawan pada 13 Oktober ini.

Beliau berkata beliau juga berharap kerajaan menangani kadar tambang rendah yang menjadi isu berterusan sejak dua tahun lalu.

“Saya berharap kerajaan dapat mengumumkan SEGiM kerana ia adalah suruhanjaya penting yang bertujuan melindungi kesejahteraan pekerja gig di negara ini.

“Setakat ini terdapat banyak isu yang belum diselesaikan dan saya percaya dengan penubuhan suruhanjaya itu, kita dapat melihat banyak perkara dapat ditangani daripada kadar tambang rendah kepada skim insurans serta keselamatan kami.

“Buat masa ini, ramai di antara kami terpaksa menerima kadar tambang yang rendah kerana ini adalah satu-satunya pekerjaan yang kita ada. Untuk mencari rezeki, kami perlu bekerja. Kami mempunyai keluarga untuk ditanggung. Oleh itu, saya mengharapkan perlindungan lebih baik daripada kerajaan pada pekerja gig seperti kami,” katanya.

Pada Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi diserahkan memorandum penubuhan SEGiM.

Memorandum itu dihantar oleh tiga wakil pertubuhan pekerja iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Penunggang P-Hailing Malaysia (Penghantar) dan Gabungan eHailing Malaysia (Permata).

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2023, Zahid mencadangkan penubuhan SEGiM bagi mengawal selia ekosistem industri gig di negara ini.

Zahid berkata cadangan ini juga bagi menjaga kebajikan keseluruhan rantaian ekonomi industri, bermula daripada penyedia perkhidmatan kepada pembekal, pekerja dan pengguna.

Pada September, beberapa penunggang yang ditemu bual oleh The Malaysian Insight menyatakan rasa tidak puas hati terhadap syarikat e-hailing dan p-hailing yang menurut mereka gagal mendengar rungutan mereka, terutama mengenai kadar tambang.

Mereka berkata pada masa ini, tiada entiti yang mengawal selia harga tambang, sekali gus memberi syarikat e-hailing kawalan sepenuhnya dalam menentukan tambang.

Pada Jun 2022, kumpulan pengguna menggesa syarikat p-hailing untuk mengurangkan komisen yang mereka caj kepada penunggang mereka dan memberikan lebih banyak insentif.

Kumpulan itu berkata tambang p-hailing perlu dikawal supaya perkhidmatan itu lebih berpatutan.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia Marimuthu Nadason sebelum ini berkata Grab – salah satu penyedia p-hailing yang popular – mengenakan komisen 20% kepada penunggangnya. – 2 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen