BERSATU mempunyai calonan simpanan untuk kerusi yang ia tandingi jika ada bakal calonnya yang belot sebelum penamaan calon hari ini, kata sumber parti.
Parti itu sedar akan usaha Umno memujuk calon-calonnya untuk lompat parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).
“Ada cakap-cakap semacam itu. Jadi kita bersiap sedia menghadapi kemungkinan tersebut dan ada calon simpanan yang boleh memfailkan kertas pencalonan sekiranya calon yang dinamakan belot,” kata sumber parti itu.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yakin pihaknya akan dapat mengharungi apa juga halangan yang dihadapi oleh parti itu, termasuk cabaran dari dalam.
“Kita tahu bagaimana hendak mengatasi masalah itu. Kita ada pelan kedua,” katanya.
Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir berkata sebarang usaha membeli calon-calonnya akan berlaku sama ada selepas hari penamaan calon atau selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 diumumkan.
“Kalau keputusan itu nanti menyebab Parlimen tergantung, masa itulah mungkin akan berlaku kerja-kerja membeli calon ini,” katanya.
Ada desas-desus dari kedua-dua belah pihak BN dan Pakatan Harapan (PH), sekiranya keputusan pilihan raya ini tidak memihak kepada mereka, mereka akan melompat parti.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini meramalkan akan ada sejumlah besar wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak yang akan lompat parti sekiranya keputusan pilihan raya memihak kepada PH. – 28 April, 2018.
Komen