Buat kerja jika tidak mahu dilabel kerajaan gagal, Hamzah beritahu Anwar


Hamzah berkata apabila ekonomi parah, yang merana adalah rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2023.

JIKA kerajaan perpaduan tidak mampu menyelesaikan isu ringgit yang menjunam, krisis beras dan kenaikan kos sara hidup, ia berisiko dilabel kerajaan gagal, kata ketua pembangkang Hamzah Zainudin.

Dalam catatan di Facebooknya, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata paras ringgit menjunam berturut-turut melepasi RM4.70.

“Pada Rabu & Khamis lalu ringgit terpelosok kepada RM4.71. Pagi ini nilai ringgit masih RM4.70.

“Ia sesuatu yang membimbangkan kerana kejatuhan berterusan memberi kesan drastik kepada ekonomi dan kadar inflasi negara,” katanya.

Katanya, dulu ketika ringgit di paras bawah RM4.50 kerajaan PN dilabel tidak pandai mentadbir.

“Tetapi sekarang bukan sahaja ringgit menjunam ke paras terburuk, bekalan beras pun berdepan krisis yang tak kunjung selesai dan harga barang terus melonjak naik.

“Kalau beginilah cara negara diurus, janganlah salahkan mana-mana pihak jika ada yang melabelkan kerajaan PH-BN ini kerajaan gagal,” katanya.

Hamzah berkata apabila ekonomi parah, yang merana adalah rakyat.

“Langkah-langkah intervensi segera yang konkrit dan komprehensif tidak dibuat tetapi yang dia galak hanyalah mencipta alasan demi alasan.

“Ingatlah, rakyat nak melihat hasil - dan kerajaan ini pun dah nak hampir setahun memerintah. Buatlah kerja dengan sebaik mungkin,” katanya. – 1 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen