Kempen PRU14 bermula tetapi belum ada tanda tsunami Melayu


The Malaysian Insight

BELUM ada lagi tanda-tanda akan berlaku tsunami politik dalam kalangan pengundi Melayu ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) secara rasminya bermula hari ini, kata penganalisis politik.

Mereka bagaimanapun tidak menepis kemungkinan peralihan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu itu boleh berlaku dalam masa 11 hari menjelang hari pengundian pada 9 Mei ini, yang akan mengancam kedudukan kuasa Barisan Nasional (BN).

Menurut Prof Mohammad Redzuan Othman, pada pilihan raya umum 2008, peralihan sokongan menentang BN hanya dikesan tiga hari sebelum hari pengundian pada 8 Mac.

Tambah beliau, keadaan sama boleh berlaku pada PRU14 ini.

“Sekarang ini (pada hari penamaan calon) kedudukannya masih status quo. Kedua-dua BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh kata keadaan sudah berubah. Kita kena tunggu lagi,” kata naib canselor Universiti Selangor (Unisel) itu.

Kajian kecenderungan sokongan politik yang beliau kendalikan pada Mac lepas menunjukkan sokongan terhadap BN ialah 42% berbanding PH 41%.

Walaupun PH berjaya mengumpulkan orang yang ramai pada siri ceramahnya dengan tarikan terutamanya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tidak jelas bagaimana sokongan itu akan diterjemahkan sebagai undi.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata sentimen politik dalam kalangan pengundi Melayu tidak sekata dan bergantung kepada banyak faktor termasuk kawasan, pekerjaan dan tahap pendidikan.

Sokongan Melayu terhadap PH misalnya meningkat di kawasan bandar dan pinggir bandar di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Ia juga tinggi di Selangor dan Kedah, kata Hisommudin.

“Setakat ini kita boleh nampak sokongan kepada PH di beberapa kawasan tetapi ia belum cukup untuk disebut sebagai tsunami,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata di Kelantan – sebuah lagi negeri tumpuan – masih belum jelas gabungan politik mana yang akan menang kerana masing-masing jentera BN dan PAS tidak begitu yakin dengan peluang mereka manakala jentera PH agak lumpuh untuk meraih sokongan.

Kajian politik sebelum ini menunjukkan PAS mungkin terlepas negeri yang diperintahnya sejak 1990 itu kerana pengundi merasakan mereka gagal menyediakan perkhidmatan yang memuaskan kepada rakyat.

Kajian terkini Merdeka Centre mendedahkan PH memerlukan antara 10 hingga 14% lagi sokongan pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia sekiranya ia mahu merampas Putrajaya.

Kajian itu mendapati secara purata 7.9% pengundi Melayu sudah beralih menolak BN tetapi ia belum memadai untuk menumbangkan parti pemerintah itu kerana undi tersebut berpecah kepada PH dan PAS. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen