PAKATAN Harapan (PH) kini menerima sokongan yang baik di Johor tetapi gelombang itu tidak sekata antara kawasan bandar, pinggir bandar dan kawasan luar bandar, kata pengkaji politik.
Mohamad Hisommudin Bakar daripada Ilham Centre berkata, gelombang sokongan terhadap PH boleh dilihat dengan nyata di Batu Pahat, Muar dan terkini di Pagoh di samping sekitar bandar raya Johor Baru dan Kulai.
Dengan perkembangan ini, PH boleh menang di kerusi Johor Baru, Pulai, Gelang Patah dan sekitar greater Johor Baru, katanya.
“Saya boleh katakan suasana panas di Batu Pahat, Muar dan Pagoh serta kawasan bandar yang dimenangi sebelum ini tetapi masih sejuk di luar bandar, seperti Sri Gading, Parit Sulong dan juga masih lemah di Ayer Hitam.
“Di kawasan bandar Ayer Hitam, PH kuat tetapi di DUN Semarang (bawah Parlimen Ayer Hitam) Barisan Nasional khasnya Umno masih lagi menguasai suasana,” kata Hisommudin yang membuat kaji selidik di Parlimen Ayer Hitam secara mendalam.
Para pemimpin DAP sebelum ini menyatakan keyakinan PH boleh memerintah negara jika berjaya mengambil alih Ayer Hitam dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Penyandang kerusi Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dinamakan oleh DAP sebagai calon PH di Ayer Hitam.
Usaha PH menyebarkan gelombang Johor ke Melaka dan Negeri Sembilan juga sehingga kini masih tersangkut di kawasan bandar sahaja.
“Di Melaka memang nampak menyeluruh sebab negeri ini kecil dan tidak ada kawasan terpencil tetapi di Negeri Sembilan ia masih terikat dengan kawasan bandar sahaja.
“Kawasan terpencil seperti Jelebu, Jempol, Kuala Klawang masih sejuk berbanding dengan kawasan bandar,” kata beliau yang membuat kajian di kawasan terbabit baru-baru ini.
Menurut Hisommudin, golongan yang paling kuat menyokong PH sekarang adalah peniaga dan usahawan.
“Mereka yang paling terasa kesannya dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan kenaikan harga barang sekarang ketika PH menjadi isu ini sebagai tema kempen utama mereka,” katanya. – 28 April, 2018.
Komen