Tanda tanya tentang Zambry jejaskan kempen BN di Perak


The Malaysian Insight

KEDUDUKAN tidak jelas Zambry Abdul Kadir sebagai calon menteri besar (MB) Perak bagi Barisan Nasional (BN) menjejaskan kempen parti penyandang itu di negeri tersebut, kata seorang penganalisis politik.

Zambry yang bertanding mempertahankan kerusi negeri Pangkor turut dicalonkan bagi kerusi Parlimen Lumut, mencetuskan desas-desus menteri besar dua penggal ini akan berpindah ke Putrajaya sekiranya BN mengekalkan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata kedudukan yang tidak jelas itu memberikan kesan kepada jentera negeri.

“Sekiranya jentera BN bersemangat, sudah tentu ada kain rentang dan papan iklan untuk menghebahkan kejayaan Zambry sebagai menteri besar. Tetapi sampai sekarang tidak nampak,” kata Hisommudin.

Keadaan yang sama juga menjejaskan Pakatan Harapan (PH) Perak yang gagal menunjukkan kerjasama padu di peringkat akar umbi walaupun mendapat sokongan padu rakyat dalam setiap acara ceramahnya.

“Ini kerana jentera PKR, Bersatu dan Amanah gagal menyelaraskan gerak kerja di negeri dengan lebih baik,” kata Hisommudin, yang menyertai rapat umum PH di Parit pada 25 April lalu.

Walaupun ceramah itu dihadiri oleh ribuan orang, ia tidak mencetuskan reaksi pada keesokan harinya dalam kalangan penduduk setempat di Parit, katanya.

“Saya duduk di beberapa kedai kopi di beberapa buah kampung selepas ceramah itu tetapi orang tidak bercakap mengenainya.

“Daripada pemerhatian saya, jentera BN dan PH tidak lancar,” katanya.

Jentera PAS sebaliknya, kata beliau, bergerak lancar dan ternampak daripada bendera dan gegantung (bunting) yang dipasang oleh pekerja parti di merata tempat di negeri itu.

“Ini menunjukkan jentera PAS lebih bertenaga,” katanya. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen